IPOH: Misi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita berusia 49 tahun, Jaslinda Saludin yang hilang selepas mendaki Gunung Batu Putih pada 23 Mei lepas, diteruskan pagi ini dengan penghantaran pasukan operasi baharu seramai lapan anggota.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pasukan penyelamat baharu itu yang terdiri daripada lapan anggota dihantar ke Bukit Berapit 2 pada 9.15 pagi tadi menggunakan pesawat AW139.
"Keseluruhan lapan anggota storm dan seorang anggota MGP (Malim Gunung Perhutanan) dari pasukan penyelamat pertama yang masuk ke Gunung Batu Putih pada 25hb Mei telah selamat keluar pagi tadi setelah menghadapi hujan lebat dan angin kuat di Berapit 2 pada malam hari," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata fokus operasi masih di sekitar kawasan Gunung Raya berdasarkan penemuan petunjuk yang ditemui sebelum ini.
Semalam, penemuan botol air dan bungkusan suplemen dipercayai milik pendaki wanita yang hilang itu menjadi petunjuk terbaharu dalam operasi SAR mangsa.
Penemuan itu ditemui di laluan menuju Gunung Raya, lokasi mangsa dipercayai tersasar dari laluan asal pendakian.
Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Dia dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi Ahad.
-- BERNAMA