KOTA KINABALU: Pemerkasaan penguatkuasaan di kawasan sempadan dan lokasi panas di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak menjadi fokus utama Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pemantauan diperkasakan susulan subsidi pukal diesel yang masih berkuat kuasa dan jurang besar antara harga subsidi, harga pam serta harga pasaran yang meningkatkan risiko ketirisan dan penyeludupan.
“Pengaktifan jawatankuasa ini adalah susulan peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan barang kawalan, khususnya diesel dan petrol akibat konflik Asia Barat yang telah melonjakkan harga minyak global. Peningkatan risiko ketirisan dan penyeludupan di Malaysia berlaku kerana harga runcit diesel dan petrol di pam masih jauh lebih rendah berbanding harga pasaran meskipun pelarasan kenaikan harga telah dibuat untuk tempoh 12 hingga 18 Mac 2026.
“Selain itu, risiko ketirisan dan penyeludupan menjadi semakin besar di Sabah dan Sarawak kerana pemberian subsidi pukal diesel masih diteruskan. Bagi kedua-dua negeri ini, harga pam diesel hanya RM2.15 seliter, berbanding harga pam diesel di Semenanjung, iaitu RM3.92 seliter manakala harga pasaran Mekanisme Harga Automatik (APM) semasa mencecah RM4.30 seliter. Ini bermaksud rakyat di Sabah dan Sarawak membeli diesel di pam kurang separuh daripada kos sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, JTPAP selaku jawatankuasa khas bagi memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan barang kawalan bersubsidi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof diaktifkan semula untuk merangka pendekatan lebih bersepadu dalam mengekang risiko penyeludupan barangan itu susulan konflik di Asia Barat.
Armizan berkata implikasi tanggungan subsidi kerajaan itu akan menjadi semakin membesar sekiranya aktiviti penyelewengan bahan api dalam negara dan penyeludupan ke luar sempadan tidak dibanteras.
“Implikasi kewangan sedia ada subsidi pukal diesel di Sabah dan Sarawak sememangnya amat besar. Sebagai contoh, bagi 2025, subsidi pukal diesel yang ditanggung kerajaan bagi kedua-dua negeri ini mencecah RM2 bilion, iaitu RM924 juta bagi Sabah dan RM1.08 bilion bagi Sarawak. Berdasarkan kadar jumlah penggunaan yang sama dan harga pasaran semasa, implikasi tanggungan subsidi kerajaan ini mencecah RM4.6 bilion bagi 2026,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata mengambil kira ketidaktentuan konflik di Asia Barat dan harga minyak global, antara langkah intervensi serta-merta yang diputuskan Jemaah Menteri adalah keperluan untuk memperkasa penguatkuasaan merentasi keseluruhan agensi berkaitan.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya.
-- BERNAMA