Skip to main content

Malaysia

Lori kebal: 30 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa JPJ direman

41532436338_BajuLokap.jpg
Seramai 30 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang berhubung kes rasuah.

Perintah  reman di keluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi di Mahkamah Majistret George Town pada Rabu.

Kesemua suspek direman  mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semalam SPRM menahan 33 individu termasuk 24 penguatkuasa JPJ selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.


Mereka ditahan di pejabat SPRM negeri di George Town antara jam 10 pagi hingga 4 petang.

Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit merupakan orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Bagaimanapun tiga wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM.

BACA: Lindungi sindiket 'lori kebal': SPRM tahan 31 individu termasuk 23 penguat kuasa JPJ

Difahamkan kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ negeri berkenaan dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 ke RM32,000 setiap bulan.

Ia sebagai  dorongan  untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan.


Sebelum itu, proses  permohonan reman ke atas 30 individu terbabit yang sepatutnya berlangsung jam 9.15 pagi tadi tergendala selepas bas milik SPRM yang membawa mereka mengalami kebakaran kecil di bahagian enjin.

Bas  yang dalam perjalanan dari  Lokap Berpusat Bayan Baru itu  sedang dalam perjalanan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang  apabila pemandunya menyedari terdapat kepulan asap dibahagian enjin bas.

Menurut sumber, kejadian yang berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu itu menyebabkan pemandu bas terpaksa menghentikan kenderaannya  di bahu jalan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan kesemua  suspek kemudiannya  dibawa ke mahkamah dengan   menggunakan 10 kenderaan rasmi SPRM.

Must Watch Video