JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi di sebuah premis makanan di Taman Megah Ria, Masai di sini, pada 3 petang Khamis lepas.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata pemeriksaan mendapati pemilik premis menggunting paket minyak dan kemudian memindahkannya ke dalam botol, dipercayai bagi kegunaan operasi perniagaan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan peralatan seperti gunting, corong dan botol yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan terbabit di dalam premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lilis Saslinda berkata premis tersebut juga didapati menyimpan barang kawalan berjadual iaitu gula dan tepung gandum selain minyak masak paket itu, tanpa permit yang sah.
Susulan itu, pemilik dan pengurus premis terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Kita turut menyita barang kawalan berjadual serta peralatan yang dipercayai digunakan bagi kerja-kerja penyelewengan tersebut dan nilai sitaan masih dalam proses dokumentasi. Bagaimanapun, tindakan diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA