KUALA LUMPUR: ‘Kita sudah bantah keras.’
Demikian penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penahanan 16 rakyat Malaysia oleh tentera rejim Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negara 2025, di sini, hari ini.
Penegasan itu selaras dengan kenyataan Anwar di media sosial pada Isnin dengan menyifatkan tindakan tentera Israel itu menunjukkan kerakusan dalam menutup ruang bantuan dan menyekat suara kemanusiaan untuk membela Palestin.
Anwar berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan.
“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan. Penindasan ke atas warga Palestin dan kepada mereka yang menggerak serta membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, dan Israel mesti berdepan keadilan dan pertanggungjawaban,” katanya.
Malam tadi, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, semua 16 rakyat Malaysia itu menaiki sembilan kapal, yang menjadi sebahagian daripada 15 kapal dipintas dan diceroboh rejim Israel di Laut Mediterranean ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.