Skip to main content

Dunia

GSF 2.0: Canberra gesa layanan perikemanusiaan kepada 11 tahanan flotila Australia

Sumud Nusantara Official
Langkah itu susulan tindakan tentera Israel memintas kapal misi kemanusiaan di perairan antarabangsa pada Isnin, sebelum menahan ratusan sukarelawan antarabangsa di atas kapal berkenaan. -Gambar fail/Sumud Nusantara Official

CANBERRA: Kerajaan Australia sedang berusaha mendapatkan pengesahan mengenai kebajikan dan status keselamatan sekumpulan rakyatnya yang dipercayai ditahan pihak berkuasa Israel.

Langkah itu susulan tindakan tentera Israel memintas kapal misi kemanusiaan di perairan antarabangsa pada Isnin, sebelum menahan ratusan sukarelawan antarabangsa di atas kapal berkenaan.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (DFAT) dalam kenyataan berkata kerajaan berharap semua tahanan diberikan layanan berperikemanusiaan selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Laporan awal menunjukkan sekurang-kurangnya 11 rakyat Australia adalah antara sukarelawan yang ditahan dalam misi bantuan ke Gaza itu.

Dalam kenyataan sama, DFAT menasihatkan rakyatnya agar tidak menyertai mana-mana misi yang cuba memecahkan sekatan laut Israel atas faktor keselamatan.

Pada April 2024, seorang rakyat Australia, Zomi Frankcom, bersama enam pekerja NGO World Central Kitchen terbunuh dalam serangan tentera Israel.

Senator Parti Greens, Mehreen Faruqi, mengecam tindakan berkenaan dan menyifatkan serbuan di perairan antarabangsa itu sebagai “lanun dan penculikan”.

Beliau turut mengkritik pendekatan kerajaan pimpinan Parti Buruh yang masih menganggap Israel sebagai rakan, meskipun insiden penahanan membabitkan rakyat Australia.

 

Must Watch Video