Skip to main content

Malaysia

Tang Jie-Ee Wei dinobat Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2025

Kuala Lumpur , 19 Mei 2026. Olahragawan Negara , Chen Tang Jie dan Olahragawati Negara , Toh Ee Wei pada  Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil.Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Pengiktirafan itu turut mencipta sejarah apabila mereka menjadi pasangan beregu campuran pertama merangkul anugerah berprestij berkenaan. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Beregu campuran badminton utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dinobat sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 yang berlangsung pada Selasa.

Pengiktirafan itu turut mencipta sejarah apabila mereka menjadi pasangan beregu campuran badminton pertama merangkul anugerah berprestij berkenaan.

Tang Jie mengetepikan pencabarnya iaitu atlet wushu negara, Si Shin Peng, Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Abdul Aziz Ahmad (bina badan).

Ee Wei pula dicalonkan bersama atlet wushu Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee, Emma Firyana Saroji (lawn bowls) dan Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling).

Tang Jie-Ee Wei melakar pencapaian membanggakan tahun lalu apabila mencipta sejarah sebagai beregu campuran pertama badminton negara menjuarai Kejohanan Dunia yang menjadi gelaran dunia kedua buat Malaysia selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 2022.

Mereka yang turut menjuarai Terbuka Australia dan muncul naib juara Masters China baru sahaja mendapat pengiktirafan atas pencapaian terbaik apabila dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS, Rabu lalu.

Bagi kategori paralimpik, atlet berbasikal para negara, Mohamad Yusof Hafizi dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.

Ini susulan pencapaian cemerlangnya meraih pingat emas pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia selain menghadiahkan emas buat negara di Sukan Para ASEAN (APG) menerusi acara ujian masa individu lelaki C1-C2.

Sementara itu, atlet para renang negara, Lim Carmen dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan selepas mengetepikan cabaran Jariah Zakaria dan Parameswary Kashinathan.

Majlis penuh berprestij itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan anugerah utama kepada semua penerima.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.

Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM20,000.

Selain kategori utama, ASN 2025 turut mempertandingkan tujuh lagi kategori membabitkan Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan serta Anugerah Khas.

Must Watch Video