KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan potensi jualan kira-kira RM89.4 juta sepanjang penyertaannya dalam Ekspo Francais dan Lesen Indonesia (FLEI) 2026 yang berlangsung di Jakarta dari 7 hingga 10 Mei, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE menyatakan delegasi Malaysia ke FLEI 2026 telah dianjurkan oleh agensi itu dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Perbadanan Nasional Bhd.
Ia memaklumkan pameran perdagangan itu telah merekodkan lebih daripada 300 mesyuarat perniagaan yang dianjurkan oleh MATRADE Indonesia melibatkan jenama francais Malaysia dan rakan perniagaan Indonesia.
“Selain mesyuarat perniagaan yang telah dijadualkan, beberapa syarikat yang mengambil bahagian turut mengadakan perbincangan berasingan dengan bakal pelabur dan rakan strategik, mencerminkan minat pasaran yang kukuh untuk mewujudkan usaha sama dan kerjasama jangka panjang,” tambahnya.
MATRADE menyatakan salah satu kejayaan daripada acara itu melibatkan syarikat Malaysia, ILUVQURAN, yang dijangka menandatangani memorandum persefahaman dengan seorang pelabur susulan perbincangan yang diadakan semasa FLEI 2026.
Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Indonesia Suresh Kumar berkata republik itu kekal sebagai pasaran utama untuk jenama francais Malaysia disebabkan oleh pangkalan penggunanya yang besar dan permintaan yang semakin meningkat dalam perniagaan makanan dan minuman, pendidikan serta gaya hidup.
“Sambutan menggalakkan yang diterima semasa FLEI 2026 menunjukkan permintaan kukuh terhadap konsep perniagaan yang berkualiti, berpatutan dan boleh dikembangkan dari Malaysia.
“Kami melihat peluang yang semakin berkembang bagi jenama Malaysia untuk mewujudkan perkongsian jangka panjang dan memperluas kehadiran mereka di bandar-bandar utama Indonesia,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pemerkasaan dan Pemantauan Keusahawanan KUSKOP Norli Karim berkata sebanyak 10 syarikat Malaysia telah mengambil bahagian dalam pameran perdagangan itu bertujuan memperluas kehadiran mereka di pasaran Indonesia.
“Pada tahun ini, sebanyak 10 syarikat Malaysia terpilih daripada pelbagai sektor iaitu Artivo, Findbulous, ILUVQURAN, Mee Hiris China Muslim, Midyson, Bonda, Dsara Fried Chicken, 1901, Dapur Mama Original Nasi Kukus dan Ar-Rahn telah mengambil bahagian dalam acara berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA