Skip to main content

Malaysia

Dakwaan ugut Albert Tei: Azam Baki ke Bukit Aman minggu depan

AZAM BAKI
Azam menggesa siasatan turut dijalankan terhadap Albert selain sedang mempertimbangkan tindakan saman. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan dipanggil bagi dirakam keterangan minggu depan berhubung dakwaan ugutan terhadap seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Rabu. 

Menurut Kumar, polis sudah menghubungi Azam berhubung perkara berkenaan.

"Kita sudah hubungi beliau, pertemuan akan diatur dalam minggu hadapan," katanya.

Sebelum ini, dalam sidang media pada Selasa, Kumar memaklumkan Azam akan dipanggil susulan laporan polis dibuat Albert pada 13 Mei lalu.

Albert sebelum ini mendakwa Azam pernah mengugut, menghalang dan menganiayanya ketika beliau cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kumar berkata, setakat ini polis sudah merakam percakapan Albert serta peguam yang didakwa menyampaikan ugutan berkenaan.

Sementara itu, Azam ketika dihubungi mengesahkan sudah dihubungi polis dan akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berkenaan.

Namun, beliau turut menggesa siasatan dijalankan terhadap Albert selain sedang mempertimbangkan tindakan saman.

 

Must Watch Video

Advertisement