PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 16 pendatang warga Myanmar termasuk lima wanita melalui laluan sungai di Kota Bharu, dalam satu operasi awal pagi pada Jumaat lepas.
Pengarah APMM Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata kesemua mereka ditangkap di sekitar tebing Sungai Kampung Kijang selepas pihaknya mengesan sebuah bot laju yang membawa kumpulan berkenaan dari arah perairan kira-kira lima batu nautika.
Beliau berkata pasukan APMM yang sedang menjalankan rondaan bagi Ops Naga, Ops Damai, Ops Tirus dan Ops Khas Pagar Laut bertindak mengejar bot tersebut selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Bot itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan memecut ke laluan sungai yang sempit dan cetek. Keadaan persekitaran yang gelap menyukarkan bot ronda merapat ke lokasi menyebabkan pasukan operasi darat digerakkan bagi memintas kumpulan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kamal berkata hasil pencarian yang dijalankan membawa kepada penahanan 16 individu berusia antara 16 hingga 51 tahun di kawasan tebing sungai berkenaan.
Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang disyaki bertindak sebagai transporter darat bagi memindahkan migran terbabit.
“Siasatan awal mendapati semua warga asing ini bekerja di kedai makan dan restoran selain sebagai buruh binaan di seluruh negara sebelum dibawa keluar oleh sindiket ke negara jiran.
“Pendatang ini mendakwa dikenakan bayaran RM3,500 seorang untuk pulang ke Myanmar manakala transporter darat menerima bayaran RM250 bagi setiap perjalanan,” katanya.
Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Kelantan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.
-- BERNAMA