Skip to main content

Dunia

Mahkamah tertinggi Itali putuskan hotel boleh tolak permintaan air paip

71659710408_TBROMEPANAS.jpg
Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang serta peraturan di Itali tidak mewajibkan restoran atau hotel untuk menyediakan air paip secara percuma. - Gambar hiasan

ROME: Mahkamah Agung Itali memutuskan sebuah hotel lima bintang di Dolomites bertindak mengikut undang-undang apabila enggan menyediakan air paip kepada seorang pelancong, sekali gus menimbulkan perdebatan mengenai hak pengguna.

Menurut laporan BBC, kejadian itu melibatkan seorang wanita yang mengunjungi restoran Hotel Sassongher di Corvara ketika musim ski pada 2019, di mana beliau hanya ditawarkan air mineral botol berharga €7 oleh pelayan.

Wanita berkenaan berhujah bahawa air merupakan sumber semula jadi dan hak asasi manusia sejagat, selain mendakwa hak pengguna beliau telah dilanggar apabila permintaan untuk air paip ditolak oleh pihak hotel.

Beliau turut memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak €2,700 atas dakwaan mengalami tekanan emosi dan kerugian ekonomi, namun tuntutan itu ditolak oleh Mahkamah Agung Itali.

Peguam yang mewakili hotel, Silvio Belardi, dipetik media tempatan sebagai menyatakan mahkamah memutuskan bahawa tiada kewajipan undang-undang bagi premis menyediakan air paip kepada pelanggan.

Dalam hujahnya, wanita itu menyamakan penyediaan air paip sebagai sebahagian daripada perkhidmatan asas hotel, seperti kemudahan katil dengan cadar bersih atau sabun di bilik air.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Agung menolak hujah tersebut dan memutuskan bahawa undang-undang serta peraturan di Itali tidak mewajibkan restoran atau hotel untuk menyediakan air paip secara percuma.

Sebaliknya, keputusan sama ada untuk menawarkan air paip atau tidak diserahkan kepada budi bicara setiap premis, termasuk dari segi model perniagaan dan perkhidmatan pelanggan.

Kes itu dilaporkan bermula di mahkamah rendah di Rome sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi, namun identiti penuh wanita terbabit tidak didedahkan oleh media.

Sebagai perbandingan, laporan sama menyatakan bahawa premis berlesen di England dan Wales diwajibkan menyediakan air minuman percuma kepada pelanggan apabila diminta.


 

Must Watch Video

Advertisement