SEOUL: Kementerian Luar Korea Selatan pada Rabu dijadual mengumumkan hasil siasatan kerajaan berhubung serangan baru-baru ini terhadap sebuah kapal Korea Selatan di Selat Hormuz, menurut pegawai, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pada 4 Mei, HMM Namu yang dikendalikan syarikat perkapalan utama Korea Selatan HMM Co. terkena “dua objek udara tidak dikenal pasti” ketika terkandas di Selat Hormuz di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran.
Pasukan siasatan kerajaan sejak itu menjalankan analisis mendalam terhadap serpihan enjin yang ditemukan daripada objek berkenaan bagi menentukan jenis dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu.
“Kementerian merancang mengadakan taklimat media mengenai hasil siasatan insiden HMM Namu pada 5 petang,” kata kementerian itu dalam mesej kepada wartawan.
Naib Menteri Luar Pertama Park Yoon-joo dijadual mengetuai taklimat itu, dengan pegawai Kementerian Pertahanan dan agensi berkaitan lain dijangka hadir, menurut kementerian itu.
Serangan itu menyebabkan letupan dan kebakaran di atas kapal berkenaan, mengakibatkan seorang daripada 24 anak kapal cedera ringan.
-- BERNAMA-YONHAP