LONDON: Pengawal selia tenaga United Kingdom (UK), Ofgem, mengumumkan kenaikan had siling harga tenaga isi rumah sebanyak 13 peratus bagi tempoh Julai hingga September ini, susulan peningkatan harga bahan api global.
Menerusi pelarasan terbaharu itu, had siling purata tahunan penggunaan elektrik dan gas meningkat kepada £1,862 (kira-kira RM9,940), berbanding £1,641 (kira-kira RM8,760) bagi tempoh April hingga Jun.
Ketua Pegawai Eksekutif Ofgem Tim Jarvis berkata perubahan itu mencerminkan ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran tenaga global.
“Kenaikan harga borong gas, didorong oleh perkembangan geopolitik di Asia Barat, memberi kesan langsung kepada kos yang ditanggung pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pihaknya menyedari tekanan terhadap isi rumah, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi.
Perkembangan itu berlaku ketika UK turut berdepan suhu luar biasa susulan gelombang haba musim bunga, yang berpotensi meningkatkan penggunaan tenaga.
Kenaikan tarif tersebut dijangka menambah beban kewangan kepada jutaan isi rumah di negara berkenaan.