NEW YORK: Menteri Luar China Wang Yi menyeru masyarakat antarabangsa supaya bersatu dan bertindak bersama bagi mempertahankan, memperkasa semula serta memperkukuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Seruan itu dibuat Wang pada Selasa ketika mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai usaha menegakkan tujuan dan prinsip Piagam PBB serta memperkukuh sistem antarabangsa berteraskan badan dunia itu.
Wang berkata usaha perlu dilakukan untuk menghidupkan semula semangat Piagam PBB bagi menyerlahkan kepimpinan yang lebih kukuh, selain mengembalikan kewibawaan UNSC supaya badan itu memperlihatkan keupayaan bertindak yang lebih berkesan.
Beliau turut menekankan keperluan memperkasa kerjasama pembangunan antarabangsa, memberi nafas baharu kepada platform tadbir urus global serta meningkatkan lagi kecekapan sistem PBB.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-55 pemulihan kerusi sah China di PBB.
Wang menegaskan China akan terus bekerjasama dengan semua negara di bawah panji multilateralisme bagi menggalakkan pembinaan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan munasabah, selain bersama-sama bergerak ke arah mewujudkan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
-- BERNAMA-CMG