KUALA LUMPUR: Pengenalan B100, biodiesel berasaskan 100 peratus minyak sawit, berpotensi menjadi sumber tenaga alternatif yang lebih kompetitif dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan akibat krisis Asia Barat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pelaksanaan B100 ketika ini masih di peringkat dasar dan akan dimulakan dengan penggunaan dalam ekosistem FELDA terlebih dahulu.
"Saya telah mengemukakan perkara ini (pelaksanaan B100) kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pada masa ini, kita memerlukan satu dasar kerajaan (yang jelas), kerana jika dilaksanakan serta-merta, bekalan (minyak sawit mentah) mungkin tidak mencukupi," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata harga B100 di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter, bergantung pada harga minyak sawit mentah.
Dengan anggaran harga di bawah RM5.00 seliter, penggunaan B100 bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel, malah membuka ruang kepada strategi penstabilan harga bahan api domestik serta memperkukuh keterjaminan tenaga negara, kata beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata FELDA dan FGV Holdings Bhd perlu memperluas pembangunan loji pemprosesan biodiesel B100 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Kami sedang mengadakan rundingan bagi menentukan bentuk kerjasama, sama ada melibatkan sektor swasta sepenuhnya, sokongan kerajaan atau pihak lain, dalam usaha memenuhi keperluan peningkatan kapasiti B100,” katanya.
Sejak tahun 2025, projek rintis penggunaan B100 biodiesel telah dilaksanakan melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan dengan jarak perjalanan melebihi 50,000 kilometer.
Ahmad Shabery berkata ujian percubaan selama empat bulan menggunakan lori tangki turut dijalankan pada 2024.
-- BERNAMA