Skip to main content

Malaysia

Bakal pengamal media perlu kuasai AI, kewartawanan data

KUALA LUMPUR, May 7 -- More than 200 media practitioners, including academics, public relations professionals and students from public and private universities, gather in the capital today for the HAWANA 2026 Media Forum, focusing on the sustainability challenges of the media industry amid digitalisation and artificial intelligence (AI)._BERNAMA
Lebih 200 pengamal media, ahli akademik, pegawai perhubungan awam dan pelajar universiti berkumpul di ibu negara semalam bagi menghadiri Forum Media HAWANA 2026. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Landskap media yang berubah secara drastik dalam era digital serta semakin dipengaruhi teknologi kecerdasan buatan (AI) menuntut bakal pengamal media untuk lebih pantas mengadaptasi teknologi terkini bagi memastikan mereka kekal relevan.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian Universiti Putra Malaysia (UPM) Syafiqah Izzaty Syamsul Ikram, 21, berkata sebagai mahasiswa yang bakal memasuki pasaran kerja dalam bidang kewartawanan, mereka perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan berkaitan AI dan kewartawanan data.

Bagaimanapun, beliau berkata penuntut bidang komunikasi di universiti awam masih kurang terdedah dengan kewartawanan data dan perkara itu memerlukan reformasi dalam sukatan pelajaran pengajian bagi memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran berkaitan.

“Ada dalam kalangan wartawan pelatih yang masih keliru apabila perlu melakukan analisis data ketika menjalani latihan amali,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Pembangunan Kandungan) Nur Qistina Damia Erwan, 21, berkata beliau melihat terdapat keperluan untuk mempersiapkan diri dengan pengetahuan berkaitan analisis data dan AI sebelum memasuki industri media.

“Bidang kewartawanan hari ini bukan lagi tentang penulisan berita yang berfakta dan panjang, tetapi lebih kepada berita yang ringkas dan mudah difahami untuk menarik perhatian orang ramai.

“Jadi, kalau saya tidak mempersiapkan diri dengan pengetahuan tentang penggunaan teknologi AI, maka sukar untuk saya menonjolkan kelebihan saya apabila ingin memasuki pasaran kerja dalam bidang media digital,” kata pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Bagi wartawan pelatih Malaysia Gazette, Azwa Rohan, 22, kewujudan kandungan dijana AI seperti gambar dan video palsu memerlukan proses pengesahan yang lebih teliti sebelum sesuatu berita diterbitkan kepada umum.

“Sekarang, AI boleh menjana berita dan perkara ini sememangnya memudahkan tugas wartawan. Bagaimanapun, pengamal media perlu mengurangkan kebergantungan pada AI kerana teknologi itu tidak boleh memasukkan elemen kemanusiaan dalam sesuatu berita.

“Jika mahu berita itu menyentuh hati pembaca, pengamal media perlu menggunakan ayat sendiri dan bukan bergantung sepenuhnya pada berita janaan AI,” katanya.

Forum Media HAWANA, anjuran Bernama, merupakan program pertama untuk semua acara yang dirancang bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching itu disertai ketua organisasi media, termasuk dari Sabah dan Sarawak, wakil agensi media asing di Malaysia dan pelbagai pemegang kepentingan dalam landskap media negara.

Buat kali pertama, Forum Media HAWANA diadakan sebagai acara sehari bagi menggalakkan perbincangan yang lebih mendalam dan pertukaran idea yang lebih bermakna.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video