Skip to main content

Politik

Undi 10 MP PKR penting lulus RUU pisah peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya - Rafizi

61739427472_TBRafizi.jpg
Rafizi berkata sokongan kira-kira 10 Ahli Parlimen PKR penting bagi memastikan RUU itu diluluskan kerana kerajaan memerlukan majoriti dua pertiga. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya jika ia tidak memasukkan elemen pengawasan serta penyertaan Parlimen.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pendirian tersebut dibuat atas prinsip reformasi institusi dan akauntabiliti awam.

Bagaimanapun, beliau berkata sokongan kira-kira 10 Ahli Parlimen PKR penting bagi memastikan RUU itu diluluskan kerana kerajaan memerlukan majoriti dua pertiga.

“Kerajaan sekarang secara rasmi mempunyai 152 kerusi, tetapi tanpa sokongan kumpulan kami, jumlah itu tidak mencukupi untuk meluluskan RUU ini.

“RUU ini tidak akan berlaku tanpa sokongan kami,” katanya pada forum sempena pelancaran Pangkalan Data Prosecutorial Accountability Watch (PAW) dan Laporan Penyelidikan Perbandingan Mengenai Akauntabiliti Pendakwaan oleh Projek SAMA, di sini pada Jumaat.

Turut menyertai forum itu ialah bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dan pakar Parlimen, Maha Balakrishnan.

Rafizi berkata demikian ketika mengulas cadangan RUU pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.

Beliau menegaskan kuasa berkaitan pelantikan dan akauntabiliti institusi pendakwaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara institusi tertentu tanpa semak dan imbang Parlimen.

“Saya pernah menjadi Ketua Whip, jadi saya faham ada undian yang perlu mengikut pendirian parti.

“Tetapi ada juga undian melibatkan reformasi dan Ahli Parlimen perlu dibenarkan membuat keputusan berdasarkan hati nurani,” katanya.

Menurut Rafizi, bentuk semasa RUU itu dilihat tidak banyak berbeza dengan sistem sedia ada dan berpotensi mengehadkan perbincangan mengenai akauntabiliti institusi.

Beliau berkata, reformasi itu perlu memastikan institusi berkenaan kekal bertanggungjawab kepada rakyat.

“Kuasa itu mesti berada di tangan pengundi supaya jika berlaku kesilapan atau salah laku, rakyat masih mempunyai ruang untuk menuntut pertanggungjawaban,” katanya.

Pada 3 Mac lalu, kerajaan memaklumkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu, namun bacaan kali kedua tidak diteruskan ke sesi perbahasan.

Pada 5 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan itu menyasarkan untuk memuktamadkan RUU berkenaan sebelum dibentangkan menjelang mesyuarat terakhir pada 18 Mei ini.
 

Must Watch Video