KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky berkata pemain tidak seharusnya mengulangi kesalahan disiplin selepas berkali-kali diberikan teguran dan peluang untuk memperbaiki diri oleh barisan kejurulatihan.
Beliau berkata sikap segelintir pemain yang masih gagal berubah walaupun sudah diberikan pelbagai peringatan seolah-olah “bercakap dengan tembok” dan tidak lagi boleh dipandang ringan.
“Amaran itu memang perlu ada, tetapi kalau sudah berulang kali diingatkan, sepatutnya tidak sampai ke amaran ketiga atau keempat.
“Mungkin amaran ketiga kita masih boleh bertolak ansur, tetapi kalau sudah sampai 10 kali diberi peringatan, itu ibarat kita bercakap dengan tembok, bukan dengan manusia,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia hari ini.
Rexy mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei yang baru-baru ini berkata isu disiplin perlu diberi perhatian serius jika skuad negara mahu kembali bersaing di peringkat tertinggi.
Menurut Rexy, beliau bukan sahaja bersetuju dengan pandangan legenda badminton negara itu, malah menyifatkan disiplin sebagai elemen paling penting dalam membentuk kejayaan seseorang atlet.
“Saya bukan 100 peratus setuju tapi 10,000 peratus setuju dengan apa diperkatakan Chong Wei.
“Apa pun bidang kita, bukan hanya sukan, semuanya berkaitan disiplin. Itu yang akan menentukan sama ada kita boleh berjaya atau tidak pada masa depan,” katanya.
Menurut Rexy, disiplin tidak semestinya mengenai keengganan pemain mendengar arahan jurulatih, tetapi lebih kepada kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai atlet kebangsaan.
Beliau berkata kebanyakan pemain masih muda dan kadangkala terlupa bahawa mereka kini membawa imej negara serta sentiasa menjadi perhatian masyarakat.
“Pemain perlu faham mereka bukan lagi orang biasa. Apa sahaja yang mereka buat akan diperhatikan semua orang kerana masyarakat mahu melihat mereka berjaya,” katanya.
Pada masa sama, Rexy berkata setiap pasukan profesional di dunia mempunyai peraturan tersendiri yang perlu dipatuhi tanpa kompromi termasuk dalam sukan bola sepak yang mengenakan denda tinggi terhadap pelanggaran disiplin.
Beliau berkata BAM masih mengamalkan pendekatan lebih terbuka dan berhemah dalam mendidik pemain namun atlet tidak boleh mengambil mudah terhadap kelonggaran diberikan.
“Peraturan ini bukan sebab kami tidak suka kepada pemain tetapi kerana disiplin itu yang akan membantu mereka mencapai kejayaan,” katanya.
-- BERNAMA