RAUB: Tiga warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki di Genting Highlands pada 17 April lepas.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap ketiga-tiga lelaki berusia antara 28 hingga 40 tahun itu tidak dibacakan kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu dan Inggeris
Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang Sharizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Fathin Nadhirah Kasim memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula kes, selain tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin.
Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali kemudian menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa bahasa Korea hadir ke mahkamah dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Sharizat memaklumkan kesemua tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 24 April lepas, media melaporkan Polis Diraja Malaysia menumpaskan kumpulan penculik yang didalangi warga Korea Selatan serta membekukan mata wang kripto Tether bernilai USDT2.46 juta (kira-kira RM11.5 juta) yang dipercayai sebahagian daripada wang tebusan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar dilaporkan berkata operasi khas itu dijalankan selepas polis menyelamatkan seorang lelaki warga Korea Selatan yang diculik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands pada 17 April lepas.
-- BERNAMA