MEKAH: Seramai 180 petugas Sahabat Maktab dipilih bagi musim haji 1447H/2026 daripada lebih 600 permohonan yang diterima, sekali gus membuktikan semangat sukarelawan dalam kalangan jemaah haji Malaysia terus kekal tinggi.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, pelantikan itu melibatkan lapan maktab, dengan Sahabat Maktab berperanan sebagai komponen penting dalam membantu pengurusan jemaah, khususnya semasa operasi kritikal di Masyair.
“Untuk musim haji kali ini, kita melantik insyaAllah seramai 180 petugas Sahabat Maktab bagi lapan maktab. Mereka ini sangat penting dalam memastikan pergerakan jemaah, terutama semasa operasi Masyair, berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya.
Menurut beliau, Sahabat Maktab dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadat, masing-masing dengan tugasan khusus untuk membantu keperluan jemaah haji.
“Mereka membantu dari segi penempatan jemaah, pergerakan bas, naik dan turun bas serta memastikan jemaah berada di maktab dan khemah yang betul, terutamanya semasa wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina,” jelasnya.
Mohd Hisham berkata, jumlah permohonan yang tinggi setiap tahun menunjukkan kesungguhan jemaah untuk menyumbang tenaga secara sukarela, walaupun tiada sebarang imbuhan ditawarkan.
“Semangat sukarelawan itu yang kita cari. Mereka ikut secara sukarela tanpa imbuhan, tetapi komitmen mereka sangat tinggi dan banyak membantu petugas sedia ada yang jumlahnya terhad,” katanya.
Pemilihan Sahabat Maktab dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk tahap kesihatan, kecergasan fizikal dan umur, yang melibatkan peserta seawal 18 tahun hingga sekitar 40-an.
“Aspek kesihatan dan fizikal amat penting kerana mereka perlu bergerak aktif dari satu lokasi ke lokasi lain. Kita juga ambil kira latar belakang, terutama bagi Sahabat Ibadat yang perlu mahir dalam ibadah dan Sahabat Medik yang mempunyai latar belakang perubatan,” katanya.
Beliau berkata, setiap maktab menerima lebih 100 permohonan, namun hanya sekitar 30 hingga 35 orang dipilih bagi setiap maktab bagi memastikan pengurusan lebih sistematik dan berkesan.
Walaupun tidak terpilih, Mohd Hisham menegaskan semangat membantu tetap wujud dalam kalangan jemaah lain.
“Walaupun tidak dilantik secara rasmi, ramai jemaah yang tetap membantu secara sukarela setakat yang mampu, khususnya golongan muda. Ini berlaku setiap tahun dan amat membanggakan,” katanya.
Beliau berkata, Sahabat Maktab yang terpilih bukan sahaja berpeluang menyumbang kepada kelancaran operasi haji, tetapi turut memperoleh pengalaman berharga dalam menguruskan jemaah di Tanah Suci.
“Kita harap Sahabat Maktab ini bukan sahaja dapat mengerjakan haji, tetapi membawa pulang pengalaman yang akan menjadi satu lipatan sejarah dan kenangan bermakna dalam hidup mereka,” katanya.