PUTRAJAYA: Tuntutan pampasan membabitkan pelancong wanita warga India yang terjatuh dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur diserahkan kepada mahkamah untuk diputuskan termasuk jumlah pampasan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Beliau berkata pihak keluarga mangsa boleh mengemukakan tuntutan melalui saluran mahkamah memandangkan Kuala Lumpur belum pernah berdepan kes seumpama itu sebelum ini.
“Apa yang saya boleh nyatakan di sini adalah, pertamanya kita bersimpati terhadap keluarga atas kejadian berlaku dan saya pasti mereka lega sekarang kerana sijil kematian sudah pun dikeluarkan.
“Untuk urusan tuntutan (pampasan), saya kira mereka perlu selesaikan melalui tuntutan mahkamah dan untuk yang ini, peguam mereka boleh buat tuntutan di mahkamah dan kita serahkan kepada mahkamah putuskan berapa amaun pampasan yang perlu,” katanya.
Beliau berkata perbincangan telah diadakan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud berhubung perkara berkenaan, dan difahamkan ahli keluarga mangsa akan pulang ke India terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan dengannya.
Media sebelum ini melaporkan keluarga pelancong wanita G Vijaya Lakshmi, 48, sedang menuntut pampasan sewajarnya dan merancang mengadakan pertemuan dengan Hannah serta Fadlun dalam tempoh dua minggu hingga sebulan selepas sijil kematian Vijaya dikeluarkan semalam.
Pada 23 Ogos 2024, Vijaya dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam yang tiba-tiba terbentuk ketika berjalan di Jalan Masjid India.
Walaupun operasi mencari dan menyelamat dijalankan secara besar-besaran membabitkan pelbagai agensi, mangsa tidak ditemukan.
Pada 27 Feb lepas, keluarga mangsa menggesa kerajaan mengeluarkan sijil kematian bagi membolehkan tuntutan pampasan dimulakan.
Sebelum ini, Vijaya masih diklasifikasikan sebagai orang hilang dan atas sebab itu sijil kematian belum dapat dikeluarkan.
Sementara itu, peguam mewakili keluarga mangsa M Partiben berkata pihaknya tidak mempunyai pilihan selain menggunakan saluran mahkamah bagi menuntut keadilan dalam kes berkenaan memandangkan tiada sebarang rundingan atau penyelesaian dicapai di luar mahkamah.
Beliau berkata pihaknya percaya mahkamah merupakan forum yang sesuai untuk menentukan hak serta liabiliti semua pihak berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang, dan tindakan sewajarnya akan difailkan di mahkamah dalam masa terdekat.
-- BERNAMA