JOHOR BAHRU: Gelombang mudik atau pulang warga Indonesia menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, mencetuskan aliran pelepasan luar biasa apabila hampir 5,000 penumpang membanjiri Terminal Feri Berjaya Waterfront, Stulang Laut di sini, dalam tempoh enam hari.
Menurut data yang dikongsikan pihak pengurusan terminal berkenaan, pintu keluar maritim utama itu merekodkan pergerakan konsisten, apabila sebanyak 4,985 penumpang warga Indonesia meninggalkan Malaysia untuk pulang ke kampung halaman masing-masing dari 20 hingga 25 Mei.
Jumlah pergerakan balik kampung tersebut meliputi pelayaran dari Terminal Feri Berjaya Waterfront (Stulang Laut) menuju ke empat destinasi utama di Wilayah Kepulauan Riau, Indonesia iaitu Batam Center, Harbour Bay, Tanjung Pinang dan Gold Coast Bengkong.
Aliran pelepasan warga Indonesia mengikut pecahan harian merekodkan pergerakan bermula pada Rabu (20 Mei) sebanyak 880 orang, diikuti Khamis (21 Mei) 748 orang, dan meningkat kepada 787 orang pada Jumaat (22 Mei).
Kemuncak trend mudik warga asing itu dikesan berlaku pada Isnin (25 Mei), dengan mencatatkan jumlah pelepasan tertinggi iaitu sebanyak 909 warga Indonesia dalam tempoh sehari, manakala Sabtu (23 Mei) dan Ahad (24 Mei) masing-masing merekodkan pelepasan 877 orang dan 784 orang.
Tinjauan Bernama di terminal berkenaan mendapati rata-rata penumpang memilih hadir beberapa jam lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, sekali gus mencerminkan keterujaan mereka untuk bertemu keluarga tercinta.
Pemandu lori Heriyanto Masrudi, 53, berkata dia dan keluarganya sanggup menanti di terminal seawal 8 pagi, meskipun feri ke Tanjung Pinang yang dinaiki mereka dijadualkan berlepas pada 11.30 pagi.
“Kami gerak awal kerana teruja untuk balik kampung, pilih datang awal supaya tidak terburu-buru. Malah, fasiliti di sini selesa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.
“Saya nak pulang ke Tanjung Pinang, Indonesia. Saya pun dah lama tak balik dan kebiasaannya Hari Raya Aidiladha di sana disambut meriah,” katanya ketika ditemui di jeti berkenaan hari ini.
Suasana ceria dan teruja turut dikongsi pekerja kedai runcit, Siti Lestari, 26, yang berkata perjalanan pulang ke Batam untuk bertemu keluarga di kampung kali ini lebih bermakna, selepas suaminya yang bekerja sebagai kontraktor mendapat pelepasan cuti seminggu.
Beliau berkata dia turut berasa lega, apabila harga tiket feri masih berpatutan iaitu RM195 bagi perjalanan pergi balik.
-- BERNAMA