DUBAI: Kerajaan Dubai membuka pantai khas wanita yang beroperasi 24 jam pertama seumpamanya di dunia sebagai sebahagian daripada projek pembangunan semula pesisir pantai bernilai AED3 bilion (kira-kira RM3.2 bilion).
Kemudahan tersebut terletak di Pantai Al Mamzar dan direka bagi menawarkan privasi, keselesaan serta keselamatan kepada penduduk tempatan dan pelancong wanita, lapor Independent.
Kawasan seluas 125,000 meter persegi itu dikelilingi pagar privasi tinggi untuk menghalang pandangan luar, selain dikendalikan sepenuhnya oleh kakitangan wanita termasuk pengawal keselamatan dan penyelamat.
Bagi memastikan privasi, larangan mengambil gambar dikuatkuasakan sepenuhnya dengan sokongan sistem pemantauan keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Pantai itu turut dilengkapi sistem pencahayaan lampu limpah berintensiti tinggi bagi membolehkan aktiviti pada waktu malam, sekali gus memberi alternatif kepada wanita mengelakkan cuaca panas siang hari.
Kanak-kanak lelaki di bawah enam tahun dibenarkan masuk bersama penjaga wanita, manakala lelaki dewasa serta kanak-kanak lelaki enam tahun ke atas tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.
Projek pembangunan di bawah Pelan Induk Pantai Awam Dubai itu turut menyasarkan peningkatan kapasiti pantai sehingga 170 peratus, selain menyediakan laluan pejalan kaki, trek basikal dan zon kecergasan.