Skip to main content

Dunia

UK henti pengeluaran visa pelajar untuk Myanmar, Afghanistan, Cameroon dan Sudan

London
Kerajaan Britain akan menghentikan pengeluaran visa pendidikan kepada warganegara Afghanistan, Cameroon, Myanmar dan Sudan serta visa kerja untuk rakyat Afghanistan, sebagai sebahagian daripada langkah lebih tegas menangani pemohon suaka. - Gambar hiasan/ Astro AWANI

LONDON: Kerajaan Britain mengumumkan pada Selasa (3 Mac) bahawa ia akan menghentikan pengeluaran visa pendidikan kepada warganegara Afghanistan, Cameroon, Myanmar dan Sudan serta visa kerja untuk rakyat Afghanistan, sebagai sebahagian daripada langkah lebih tegas menangani pemohon suaka.

Kementerian Dalam Negeri berkata, terdapat peningkatan mendadak permohonan suaka oleh pelajar dari negara-negara tersebut dan hampir 135,000 pemohon suaka telah memasuki United Kingdom melalui laluan sah sejak 2021.

“Britain akan sentiasa memberi perlindungan kepada mereka yang melarikan diri daripada perang dan penganiayaan, tetapi sistem visa kita tidak boleh disalahgunakan,” kata Setiausaha Dalam Negeri, Shabana Mahmood dalam satu kenyataan.

“Itulah sebabnya saya mengambil keputusan luar biasa untuk menolak visa kepada warganegara yang cuba mengeksploitasi kemurahan hati kami.”

Kementerian Dalam Negeri berkata, jumlah permohonan suaka oleh pelajar dari Afghanistan, Cameroon, Myanmar dan Sudan telah melonjak lebih 470 peratus antara 2021 dan 2025.

Imigresen telah menjadi isu besar dalam politik Britain, dengan parti haluan kanan tegar Reform UK melonjak dalam tinjauan pendapat melalui pendirian anti-imigresen mereka.

Kerajaan-kerajaan terdahulu bergelut mengekang kemasukan bot kecil yang menyeberangi Selat Inggeris dari Perancis, yang membawa sejumlah besar pendatang tanpa dokumen.

Namun, pihak berkuasa turut berdepan tekanan untuk mengurangkan jumlah pemohon suaka yang memasuki negara melalui laluan sah lain.

Kementerian Dalam Negeri berkata, kerajaan telah “mengurangkan tuntutan suaka oleh pelajar sebanyak 20 peratus sepanjang tahun 2025, tetapi tindakan lanjut masih diperlukan kerana mereka yang tiba dengan visa pelajar masih mewakili 13 peratus daripada semua tuntutan dalam sistem.” - Agensi

Must Watch Video