BANGKOK: Thailand sedang memantau dengan rapi situasi di Asia Barat dengan rasa kebimbangan yang mendalam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar pada Sabtu, lapor Xinhua.
“Kami menyeru semua pihak untuk mencegah konflik daripada menjadi lebih buruk, yang boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta memberi kesan kepada orang awam yang tidak bersalah. Thailand menekankan kepentingan dialog dan diplomasi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan lain yang dikeluarkan pada hari yang sama oleh kementerian berkata rakyat Thailand yang tidak mempunyai urusan penting di kawasan itu dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke rantau itu pada masa ini, memandangkan ketegangan semasa di Asia Barat dan potensi peningkatan serta peluasan permusuhan yang boleh menjejaskan orang awam.
Di Phnom Penh, Kemboja turut menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi di Asia Barat, sehari selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja dalam kenyataan berkata negara itu menyeru semua pihak yang terlibat agar menggunakan kawalan maksimum untuk mengelak daripada berlaku peningkatan konflik yang boleh membahayakan nyawa orang awam dan menjejaskan keamanan.
Menurut kenyataan itu, tiada laporan mengenai rakyat Kemboja yang cedera, dan semua warganegara Kemboja yang berada di rantau itu dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi keselamatan mereka.
-- BERNAMA-XINHUA