Skip to main content

Dunia

Tehran tidak dapat lagi bersabar, beri amaran balas sebarang serangan - Jurucakap Parlimen Iran

People walk past damaged buildings following a strike on a police station, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in Tehran, Iran, March 4, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb lepas, yang mencetuskan serangan balas daripada Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz. - Gambar fail/Reuters

ISTANBUL: "Kesabaran" Tehran kini sudah berakhir, kata jurucakap Parlimen Iran pada Ahad ketika ketegangan yang berterusan dengan Amerika Syarikat (AS) terus memuncak, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Setakat hari ini (Ahad), kesabaran kami sudah berakhir. Sebarang serangan ke atas kapal-kapal kami akan dibalas dengan tindak balas yang berat dan tegas oleh Iran terhadap kapal serta pangkalan AS," kata Ebrahim Rezaei, Jurucakap Jawatankuasa Dasar Luar dan Keselamatan Nasional Parlimen Iran menerusi platform media sosial X.

Rezaei turut memberi amaran bahawa "masa semakin suntuk buat kepentingan Amerika."

"Langkah terbaik (bagi AS) adalah untuk menyerah kalah dan membuat konsesi," katanya. "Mereka mesti menyesuaikan diri dengan orde serantau yang baharu."

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb lepas, yang mencetuskan serangan balas daripada Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal mencapai persetujuan yang berkekalan. Tempoh gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump tanpa tarikh tamat yang ditetapkan, bagi memberi ruang kepada usaha diplomasi ke arah penyelesaian kekal peperangan berkenaan.

Sejak 13 April, AS telah menguatkuasakan sekatan maritim yang menyasarkan trafik perkapalan Iran di laluan air berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video