TEHRAN: Iran mengesahkan telah menghantar maklum balasnya terhadap cadangan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang yang sedang berlaku.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata, negaranya yang bertindak sebagai perantara telah menerima respons daripada Iran, namun enggan mendedahkan sebarang butiran.
Beliau juga tidak menyatakan sama ada cadangan itu telah disampaikan kepada Washington.
Presiden AS, Donald Trump, tidak menyentuh mengenai respons tersebut dalam hantaran di platform Truth Social miliknya, sebaliknya menegaskan, Iran tidak akan dibenarkan untuk terus “bermain helah."
Gencatan senjata yang bertujuan membuka ruang rundingan bagi menamatkan konflik - yang dilancarkan oleh AS dan Israel pada Februari lalu d-ilaporkan sebahagian besarnya dipatuhi, walaupun masih berlaku beberapa pertukaran serangan secara terpencil.
Laporan portal berita AXIOS menyatakan, memorandum satu muka surat dengan 14 perkara yang dikemukakan AS merangkumi antaranya penggantungan pengayaan nuklear Iran, penarikan semula sekatan, serta pemulihan kebebasan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Memetik dua pegawai AS dan dua sumber lain yang tidak dinamakan, laporan itu menyebut kebanyakan terma dalam memorandum tersebut bergantung kepada tercapainya perjanjian muktamad antara kedua-dua pihak.
Agensi berita Isna dari Iran melaporkan, maklum balas Tehran memberi tumpuan kepada usaha menamatkan perang serta aspek keselamatan maritim di Teluk dan Selat Hormuz.
Iran sebelum ini terus menyekat laluan perairan strategik itu, tindakan yang menyumbang kepada peningkatan harga minyak global.
AS pula menguatkuasakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai tekanan supaya Tehran menerima terma yang dikemukakan, langkah yang mencetuskan kemarahan Iran.
Pada Ahad, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dalam kenyataannya menegaskan, negara itu tidak akan tunduk kepada tekanan musuh.
Menurut beliau, sebarang perbincangan mengenai dialog atau rundingan tidak boleh disifatkan sebagai penyerahan atau pengunduran.
Trump sebelum ini berulang kali menyatakan perang di Iran akan berakhir “dengan cepat.”
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, simpanan uranium diperkaya Iran perlu “dihapuskan” sebelum konflik itu boleh dianggap benar-benar berakhir.
Dalam temu bual bersama program ‘60 Minutes’ CBS yang akan disiarkan, Netanyahu berkata, masih terdapat tapak pengayaan nuklear yang perlu dibongkar.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump pada Ahad menulis hantaran keras di Truth Social, menuduh Iran selama puluhan tahun memperdaya AS dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil.
Jurucakap ketenteraan Iran, Mohammad Akraminia, pula memberi amaran kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz akan berdepan “akibat serius” sekiranya gagal bekerjasama dengan Tehran.
Menurut beliau, AS tidak akan mampu melaksanakan sekatan penuh di perairan utara Lautan Hindi walaupun mengerahkan kekuatan armadanya.
Iran menggunakan kawalannya ke atas Selat Hormuz – laluan yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia – sebagai tekanan strategik dalam konflik yang tercetus susulan serangan AS dan Israel pada 28 Februari lalu.
Beberapa kapal yang cuba melalui selat itu dilaporkan telah diserang.
AS mengekalkan kehadiran ketenteraan yang besar di rantau Teluk, termasuk pangkalan di Qatar, Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Oman.
Pada Sabtu, tentera laut Britain mengumumkan penghantaran sebuah kapal perang ke Timur Tengah bagi menyertai misi antarabangsa melindungi laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer, bagaimanapun menegaskan misi itu hanya akan dilaksanakan selepas pertempuran di rantau tersebut berakhir.
Iran memberi amaran akan bertindak balas secara “tegas dan segera” terhadap sebarang penempatan tentera Perancis atau Britain di selat itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron kemudiannya menjelaskan, Paris tidak merancang penempatan ketenteraan, sebaliknya mempertimbangkan misi keselamatan yang diselaraskan bersama Iran.
Dalam insiden berasingan, Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan sebuah kapal pengangkut pukal terkena objek tidak dikenali kira-kira 23 batu nautika di timur laut Doha, Qatar, mengakibatkan kebakaran kecil tanpa korban.
Agensi berita Fars dari Iran memetik sumber tidak dinamakan sebagai berkata, kapal terbabit berlayar di bawah bendera AS dan dimiliki Amerika Syarikat. Kuwait dan UAE turut melaporkan kejadian pencerobohan dron ke ruang udara masing-masing yang berjaya dipatahkan.
Menteri-Menteri Pertahanan dari lebih 40 negara dijadualkan bermesyuarat untuk membincangkan pelan pimpinan Britain bagi melindungi laluan perkapalan di Selat Hormuz selepas konflik tamat.
Trump sebelum ini memberi amaran bahawa sekiranya Iran enggan mencapai persetujuan, serangan udara terhadap negara itu akan disambung dengan skala dan intensiti lebih besar. - Agensi