Skip to main content

Dunia

Warga Perancis tunjuk gejala selepas pulang dari kapal wabak hantavirus

Ambulances carrying patients evacuated from the MV Hondius cruise ship with suspected hantavirus infection, leave the Bourget airport, north of Paris, Sunday, May 10, 2026. (AP Photo/Thibault Camus)
Ambulans yang membawa penumpang disyaki dijangkiti hantavirus dari kapal MV Hondius meninggalkan Lapangan Terbang Le Bourget, utara Paris. - Foto AP

PARIS: Seorang warga Perancis yang dipindahkan dari kapal persiaran MV Hondius dilaporkan menunjukkan gejala hantavirus ketika dalam penerbangan pulang ke Paris, menurut kerajaan Perancis.

Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, berkata individu itu adalah sebahagian daripada lima rakyat negara itu yang dipulangkan dari Tenerife, Sepanyol, selepas kapal tersebut dilanda wabak virus berbahaya berkenaan.

Semua penumpang terbabit telah diletakkan dalam pengasingan ketat sebaik tiba di Perancis.

Pesawat yang membawa mereka mendarat di Lapangan Terbang Le Bourget sebelum kesemua individu dihantar ke Hospital Bichat di Paris untuk menjalani kuarantin selama 72 jam serta pemeriksaan kesihatan menyeluruh.

Selepas itu, mereka diarahkan menjalani pengasingan di rumah sehingga 45 hari.

Kapal MV Hondius, yang membawa kira-kira 150 penumpang dan kru pelbagai negara, berlabuh di Kepulauan Canary pada Ahad selepas tercetus wabak hantavirus.

Operasi pemindahan besar-besaran dilakukan oleh pihak Sepanyol dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga penumpang dilaporkan maut akibat wabak tersebut, yang dikaitkan dengan strain Andes, satu jenis hantavirus jarang tetapi boleh membawa maut dan berpotensi menular antara manusia dalam kes tertentu.

Selain Perancis, puluhan penumpang lain turut dipulangkan ke negara masing-masing termasuk Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda, dengan kebanyakan mereka menjalani kuarantin serta pemantauan kesihatan rapi.

Pihak berkuasa kesihatan antarabangsa bagaimanapun menegaskan risiko penularan kepada orang awam masih rendah, walaupun pemantauan ketat diteruskan terhadap semua individu yang terdedah.
 

 

Must Watch Video