Skip to main content

Dunia

51 maut termasuk petugas perubatan dalam serangan Israel di Lubnan

A civil defense worker reacts near the body of a person killed in an Israeli airstrike a day earlier in the village of Saksakieh, in Sidon, south Lebanon, Sunday, May 10, 2026. (AP Photo/Mohammed Zaatari)
Seorang anggota pertahanan awam tidak dapat menahan kesedihan di sisi mayat mangsa yang terkorban dalam serangan udara Israel sehari sebelumnya di kampung Saksakieh, Sidon, selatan Lubnan. - Foto AP

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh, termasuk dua petugas perubatan, dalam siri serangan Israel di Lubnan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Kementerian itu menuduh Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dan norma kemanusiaan dengan menyasarkan kemudahan kesihatan, termasuk serangan ke atas dua lokasi berkaitan pihak berkuasa kesihatan di Qalawiya dan Tibnin, daerah Bint Jbeil.

Konflik tersebut berlaku walaupun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) telah memasuki minggu ketiga sejak berkuat kuasa pada 16 April lalu.

Sejak operasi ketenteraan baharu Israel bermula pada 2 Mac, jumlah korban di seluruh Lubnan mencecah kira-kira 2,846 orang, menurut kementerian berkenaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sekurang-kurangnya 103 petugas kesihatan terbunuh dan lebih 230 cedera dalam lebih 130 serangan Israel setakat ini, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan petugas barisan hadapan.

Ketua Pertahanan Awam Lubnan di Tyre, Ali Safiuddin, berkata situasi di lapangan amat berbahaya.  

“Kami berada dalam ancaman setiap saat. Kami tidak tahu sama ada akan terus hidup atau mati,” katanya kepada Al Jazeera.

Wartawan Al Jazeera di selatan Lubnan, Obaida Hitto, menegaskan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa jelas melindungi petugas perubatan dan pasukan penyelamat, namun serangan berterusan menimbulkan persoalan tentang keupayaan mereka untuk terus berkhidmat.

Seorang pakar bedah perang dan pekerja kemanusiaan, Dr Tahir Mohammed, turut membandingkan situasi di Lubnan dengan Gaza, mendakwa corak serangan terhadap petugas kesihatan adalah konsisten.

Keganasan berterusan itu juga menyebabkan lebih 1.2 juta penduduk Lubnan kehilangan tempat tinggal sejak Mac lalu, sekali gus memburukkan krisis kemanusiaan di negara tersebut.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, serangan dilaporkan semakin meningkat, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan usaha diplomatik dalam menghentikan konflik yang berlarutan.
 

 

Must Watch Video