Skip to main content

Dunia

Keluarga dipaksa gali semula kubur oleh peneroka di Tebing Barat

Sumber: REUTERS
Peneroka paksa pengebumian semula lelaki Palestin di Tebing Barat, kata keluarga. - Foto REUTERS

JENIN: Seorang lelaki Palestin mendakwa dipaksa menggali semula kubur bapanya yang baru sahaja dikebumikan selepas sekumpulan peneroka Israel menceroboh tanah perkuburan di Tebing Barat.

Mohammed Asasa berkata, kejadian berlaku kurang setengah jam selepas beliau dan keluarganya mengebumikan bapanya, Hussein Asasa, 80, yang meninggal dunia akibat sebab semula jadi.

Ketika kembali ke rumah di kampung Asasa berhampiran Jenin, beberapa kanak-kanak memaklumkan bahawa peneroka sedang menggali kubur tersebut.

Hussein, seorang bekas pedagang ternakan dan bapa kepada 10 orang anak, dikebumikan di sebuah kawasan perkuburan kecil di luar kampung.

Mohammed memaklumkan bahawa beliau telah mendapatkan kebenaran daripada pangkalan tentera Israel berhampiran bagi memastikan urusan pengebumian berjalan lancar.

Image
Sumber: REUTERS

Namun, setibanya semula di lokasi itu, mereka terkejut apabila mendapati sekumpulan peneroka bersenjata sedang cuba memecahkan kubur menggunakan peralatan berat.

Peneroka tersebut dipercayai berasal dari penempatan Sa-Nur yang baru didirikan semula di atas bukit berhampiran.

Menurut Mohammed, peneroka mengugut untuk menggali mayat itu sendiri jika keluarga tidak melakukannya, dengan alasan lokasi kubur terlalu hampir dengan penempatan mereka.

Rakaman video menunjukkan ahli keluarga akhirnya terpaksa menggali semula kubur dan mengalihkan jenazah ke tempat lain di bawah pengawasan peneroka bersenjata.

Image
Sumber: REUTERS

Tentera Israel kemudian dilaporkan merampas peralatan penggalian daripada peneroka bagi meredakan ketegangan.

Namun, keluarga Asasa mendakwa pasukan keselamatan hanya berdiam diri ketika mereka dipaksa melakukan perbuatan tersebut.

Dalam kenyataan kepada BBC, Tentera Pertahanan Israel (IDF) mengecam sebarang tindakan yang menjejaskan ketenteraman awam serta maruah manusia, sama ada yang hidup atau telah meninggal dunia.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengutuk insiden itu sebagai “mengejutkan” dan mencerminkan penyahmanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Menurut laporan The New York Times, penduduk tempatan berkata ketegangan meningkat sejak penempatan Sa-Nur dibuka semula, dengan banyak kawasan diisytiharkan sebagai zon ketenteraan tertutup, sekali gus mengehadkan akses ke tanah pertanian dan tanah perkuburan.

Mayat Hussein akhirnya dikebumikan semula di kampung berhampiran, selepas keluarga memindahkannya ke lokasi yang dianggap lebih selamat.
 

 

Must Watch Video