WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak tindak balas Iran terhadap cadangan Washington untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku, dengan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima sama sekali.”
Butiran penuh maklum balas Iran itu masih belum didedahkan kepada umum.
Tindak balas tersebut dilaporkan disampaikan melalui Pakistan, yang bertindak sebagai orang tengah dalam usaha pengantaraan konflik berkenaan.
Gencatan senjata yang dimeterai bagi membuka ruang rundingan menamatkan perang - hasil inisiatif AS dan Israel pada Februari lalu secara umumnya dipatuhi, meskipun terdapat beberapa insiden tembakan balas berskala kecil.
Awal minggu ini, Trump sekali lagi menegaskan, perang dengan Iran akan berakhir dengan cepat.
Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berpandangan, konflik itu hanya boleh dianggap tamat sekiranya stok uranium diperkaya milik Iran dimusnahkan.
“Masih terdapat tapak pengayaan uranium yang perlu dileraikan,” kata Netanyahu dalam petikan wawancara bersama program 60 Minutes terbitan CBS.
Pada Ahad, Presiden Iran Masoud Pezeshkian tidak merujuk secara langsung kepada cadangan AS itu, namun menegaskan, Tehran tidak akan tunduk kepada tekanan luar.
“Kami tidak akan pernah tunduk kepada musuh. Jika wujud perbincangan atau rundingan, itu tidak bermakna penyerahan atau pengunduran,” katanya.
Media AS, Axios melaporkan, memorandum AS setebal satu muka surat yang mengandungi 14 perkara telah dikemukakan kepada Iran.
Antaranya termasuk penggantungan aktiviti pengayaan nuklear Iran, pelonggaran sekatan ekonomi serta pemulihan laluan perkapalan bebas melalui Selat Hormuz.
Laporan itu memetik dua pegawai AS dan dua sumber lain yang mengetahui perkara tersebut, yang menyatakan sebahagian besar terma dalam memorandum berkenaan hanya akan berkuat kuasa selepas perjanjian muktamad dicapai.
Agensi berita Iran, ISNA pula memaklumkan, tindak balas Tehran memfokuskan kepada usaha menamatkan perang serta keselamatan maritim di Teluk dan Selat Hormuz.
Iran terus menyekat laluan perairan strategik itu, sekali gus mencetuskan kenaikan harga minyak global. Sebagai tindak balas, AS melaksanakan sekatan ke atas pelabuhan Iran bagi memberi tekanan kepada Tehran agar bersetuju dengan syarat Washington - satu langkah yang membangkitkan kemarahan Iran.
Sebelum ini, Iran turut memberi amaran kepada negara-negara jiran agar tidak mematuhi sekatan AS.
Jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia memberi amaran bahawa kapal yang melalui Selat Hormuz akan berdepan “akibat yang teruk” jika tidak terlebih dahulu bekerjasama dengan Tehran.
Beliau turut menegaskan, AS tidak mampu menjadikan perairan utara Lautan Hindi sebagai sekatan penuh meskipun mengerahkan armada tenteranya.
Iran dilaporkan memanfaatkan pengaruhnya di Selat Hormuz - laluan yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia - sejak konflik tercetus susulan serangan AS dan Israel pada 28 Februari lalu.
Tehran juga telah mengeluarkan amaran serta dalam beberapa kes menyerang kapal yang cuba melalui selat berkenaan.
AS kini mempunyai kehadiran ketenteraan yang signifikan di rantau Teluk termasuk di Qatar, Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Oman.
Pada Sabtu, Tentera Laut Diraja Britain mengumumkan akan menghantar sebuah kapal perang ke Asia Barat bagi menyertai misi antarabangsa melindungi laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer berkata, misi itu hanya akan dilaksanakan selepas pertempuran di rantau tersebut berakhir.
Iran segera memberi amaran akan bertindak balas secara “tegas dan serta-merta” sekiranya berlaku penempatan tentera laut Perancis atau Britain di selat berkenaan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron bagaimanapun menegaskan, Paris tidak merancang penempatan ketenteraan, sebaliknya menyokong usaha keselamatan yang diselaraskan bersama Iran.
Ketegangan turut merebak ke negara-negara Teluk apabila Iran dilaporkan bertindak balas terhadap sekutu Arab AS.
Pusat Operasi Perdagangan Maritim UK (UKMTO) memaklumkan, sebuah kapal kargo telah terkena objek tidak dikenali kira-kira 23 batu nautika di timur laut Doha, Qatar, menyebabkan kebakaran kecil namun tanpa kecederaan.
Agensi Fars Iran kemudiannya melaporkan, kapal tersebut belayar di bawah bendera AS dan dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Pada hari sama, Kuwait mengesahkan beberapa dron memasuki ruang udaranya sebelum tindakan diambil oleh pihak tentera, manakala UAE melaporkan sistem pertahanannya berjaya memintas dua dron yang datang dari arah Iran.
Menteri Pertahanan dari lebih 40 negara dijangka mengadakan mesyuarat pada Isnin bagi membincangkan pelan yang diketuai Britain untuk melindungi perkapalan di Selat Hormuz selepas konflik berakhir.
Trump sebelum ini dalam satu hantaran di Truth Social pada 6 Mei memberi amaran bahawa sekiranya Iran enggan mencapai persetujuan, Washington akan melancarkan serangan ketenteraan yang “jauh lebih besar dan lebih intensif” berbanding sebelum ini. - Agensi