Skip to main content

Dunia

Pembantu Matthew Perry bakal dijatuhi hukuman kes ketamin

FILE - Matthew Perry poses for a portrait in New York on Feb. 17, 2015. (Photo by Brian Ach/Invision/AP, File)
Mayat Matthew Perry (foto) ditemukan di dalam jakuzi di kediamannya selepas dipercayai menerima dos bahan itu pada hari kejadian. -Gambar fail/AP

LOS ANGELES: Pembantu peribadi kepada pelakon Matthew Perry, Kenneth Iwamasa, dijadual menerima hukuman mahkamah pada Rabu atas kesalahan berkaitan suntikan ketamin yang dikaitkan dengan kematian bintang "Friends" itu pada 2023, lapor ABC.

Iwamasa merupakan individu kelima dan terakhir dijatuhi hukuman dalam kes konspirasi pengedaran dadah berkenaan, selepas mengaku bersalah pada Ogos 2024.

Menurut pihak pendakwa raya, Iwamasa memberikan suntikan ketamin kepada pelakon itu berulang kali dalam tempoh beberapa minggu sebelum kejadian tanpa kelayakan perubatan.

Dalam dokumen mahkamah, pendakwa mendedahkan terdapat beberapa kejadian sebelum itu di mana mangsa ditemui tidak sedarkan diri, selain menunjukkan tanda kesan selepas menerima dos tinggi bahan berkenaan.

Pada hari kejadian, Iwamasa didakwa menyuntik dua dos ketamin sebelum memberikan satu lagi suntikan atas permintaan mangsa.

Dia kemudian keluar dari kediaman dan menemui pelakon itu dalam keadaan tidak bernyawa di dalam jakuzi sejurus kembali.

Pendakwa raya turut mendakwa Iwamasa cuba melupuskan bahan bukti termasuk botol dan picagari selepas kejadian, serta menyembunyikan maklumat semasa siasatan awal.

Walaupun pertuduhan itu membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara, pihak pendakwa memohon hukuman penjara selama 41 bulan dengan mengambil kira kerjasama yang diberikan.

Dalam pada itu, peguam bela berhujah bahawa tertuduh hanya bertindak mengikut arahan dan kehendak mangsa.

Kes tersebut turut melibatkan beberapa individu lain termasuk pembekal dan pengamal perubatan yang telah dijatuhi hukuman.

 

Must Watch Video

Advertisement