Skip to main content

Dunia

Mahkamah Jenayah Antarabangsa beri lampu hijau perbicaraan Duterte

71596406022_RodrigoDuterte.jpg
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka laluan bagi perbicaraan bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte. - Gambar fail

AMSTERDAM: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka laluan bagi perbicaraan bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut pengumuman mahkamah di The Hague itu, barisan hakim sebulat suara mengekalkan semua pertuduhan berkaitan kempen antinarkotik kendalian beliau. Mahkamah menyatakan bahawa bukti yang ada adalah mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.

Hakim memutuskan terdapat "asas yang kukuh" untuk mempercayai bahawa Duterte bertanggungjawab atas jenayah terhadap kemanusiaan. Tarikh bermulanya perbicaraan itu bagaimanapun belum diumumkan.

Pihak pendakwa raya mendakwa pemimpin berusia 81 tahun itu melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dalam perang dadah yang diterajui kerajaan, khususnya melibatkan 78 kes pembunuhan dan percubaan membunuh.

Barisan hakim pada mulanya telah menyemak bukti-bukti berkenaan  dalam pendengaran awal.

Pada Rabu, mahkamah menolak usul pasukan pembelaan Duterte untuk membatalkan kes itu berdasarkan isu bidang kuasa ICC.

Pasukan pembelaan juga cuba menghalang perbicaraan dengan memberi alasan tahap kesihatan Duterte yang merosot, namun usaha itu turut gagal.

Duterte, yang memegang jawatan Presiden Filipina dari 2016 hingga 2022, melancarkan peperangan tanpa henti terhadap jenayah dadah sepanjang tempoh pentadbirannya, yang menurut organisasi hak asasi manusia, telah mengorbankan anggaran 30,000 mangsa.

Suspek sering kali dihukum mati secara ringkas tanpa melalui proses perbicaraan.

Bekas presiden itu ditahan di Manila pada Mac 2025 berdasarkan waran tangkap ICC dan diterbangkan ke Belanda, di mana terletaknya The Hague. Beliau bagaimanapun menolak semua pertuduhan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

Must Watch Video