Skip to main content

Dunia

AS lulus pelaburan AS$9 bilion bangun pusat data AI untuk risikan

Google Bangunkan Pusat Data Yang Tidak Menggunakan Air Untuk Penyejukan
Peruntukan itu bertujuan membolehkan kedua-dua agensi mengendalikan model AI generatif secara kendiri menggunakan cip pemprosesan terkini. -Gambar fail/Amanz

WASHINGTON: White House dilapor meluluskan pelaburan sebanyak AS$9 bilion (kira-kira RM35.7 bilion) kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) dan Agensi Keselamatan Negara (NSA) bagi membina pusat data kecerdasan buatan (AI) berkeupayaan tinggi untuk tujuan risikan.

Menurut laporan The New York Times, peruntukan itu bertujuan membolehkan kedua-dua agensi mengendalikan model AI generatif secara kendiri menggunakan cip pemprosesan terkini.

Langkah tersebut diambil bagi meningkatkan keupayaan pengkomputeran agensi keselamatan yang sebelum ini dilaporkan ketinggalan berbanding sektor swasta seperti OpenAI dan Google.

Bagaimanapun, pelaksanaan projek itu masih memerlukan kelulusan Kongres Amerika Syarikat sebelum dana dapat disalurkan.

Melalui inisiatif ini, CIA dan NSA merancang menjalankan operasi AI sepenuhnya dalam rangkaian tertutup tanpa bergantung kepada sistem pengkomputeran awan komersial, bagi memenuhi keperluan keselamatan maklumat negara.

Sebelum ini, NSA menggunakan perkhidmatan Amazon Web Services (AWS), namun proses naik taraf kepada cip generasi baharu seperti NVIDIA Grace Blackwell dilaporkan mengambil masa lama berikutan keperluan keselamatan dan pengasingan data.

Pelaburan tersebut menonjolkan peranan teknologi AI sebagai infrastruktur keselamatan kritikal, setanding dengan sistem satelit dan penyulitan pertahanan.

Permintaan daripada kerajaan AS turut dijangka merangsang inovasi dalam industri semikonduktor global, melibatkan syarikat seperti NVIDIA, Intel, AMD dan TSMC.

Langkah ini diambil ketika AS memperketat sekatan eksport cip AI berprestasi tinggi ke negara seperti Rusia dan China, yang mendorong Beijing mempercepat pembangunan cip tempatan.

Pada masa sama, fokus terhadap AI turut dipacu ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks, termasuk penggunaan teknologi tersebut dalam serangan siber serta penemuan kelemahan sistem oleh model AI canggih.

 

Must Watch Video

Advertisement