Skip to main content

Dunia

Israel kurangkan separuh lori bantuan ke Gaza - PBB

41748813113_Trucksaidgazas.jpg
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima pemberitahuan daripada pihak berkuasa pendudukan Israel mengenai keputusan mereka untuk mengurangkan separuh jumlah lori bantuan yang dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza, daripada kira-kira 600 lori seperti yang dijanjikan dalam perjanjian gencatan senjata, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.

Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB Farhan Haq berkata pada sidang media malam Selasa bahawa Koordinator Aktiviti Kerajaan di Wilayah Palestin (COGAT) telah memaklumkan keputusan itu melalui surat rasmi, dengan alasan tindakan tersebut dilakukan berkaitan pemulangan mayat tahanan.

"Kami menyedari kandungan surat daripada COGAT," katanya sambil menegaskan bahawa PBB sedang berusaha memastikan sebanyak mungkin bantuan kemanusiaan dapat dihantar ke Gaza.

Beliau menegaskan bahawa badan antarabangsa itu menggesa semua pihak mematuhi komitmen masing-masing, termasuk pemulangan mayat tahanan, serta melaksanakan peruntukan lain dalam perjanjian gencatan senjata - terutamanya memastikan aliran bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam di Semenanjung Gaza tidak terjejas.

-- BERNAMA

Must Watch Video