LONDON: Eropah Barat kini berdepan gelombang haba luar biasa apabila beberapa negara mencatatkan suhu tertinggi bagi bulan Mei.
Fenomena itu didorong oleh kesan “kubah haba” (heat dome) yang membawa udara panas dari utara Afrika dan memerangkapnya di bawah sistem tekanan tinggi di ruang udara Eropah.
Di United Kingdom (UK), suhu di Kew Gardens dan Heathrow, London mencecah 35.1 darjah Celsius semalam, sekali gus memecahkan rekod 34.8°C yang dicatatkan sehari sebelum itu.
Peramal kaji cuaca Met Office Britain, Greg Dewhurst berkata suhu sedemikian luar biasa bagi UK, khususnya pada bulan Mei.
Pada masa sama, London turut mengalami fenomena “malam tropika” apabila suhu tidak turun di bawah 20°C pada waktu malam.
Gelombang haba itu turut dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 11 kematian di Britain dan Perancis, kebanyakannya akibat insiden lemas ketika orang ramai mandi di tasik dan sungai bagi menyejukkan badan.
Di Perancis, agensi kaji cuaca Météo-France melaporkan rekod suhu bulanan Mei dipecahkan di 352 stesen, termasuk bacaan 37.1°C di wilayah Landes.
Ireland turut mencatat suhu maksimum bulanan sebanyak 28.6°C di Lapangan Terbang Shannon, manakala Sepanyol dijangka mengalami suhu sehingga 38°C di beberapa wilayah selatan.
Susulan keadaan itu, wilayah Lazio di Itali termasuk bandar Rom melaksanakan sekatan kerja luar bangunan antara 12.30 tengah hari hingga 4 petang bagi melindungi keselamatan pekerja.
Saintis iklim memberi amaran gelombang haba seperti ini semakin kerap dan intensif, didorong oleh perubahan iklim global.
Menurut laporan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Eropah mengalami pemanasan hampir dua kali lebih pantas berbanding purata global sejak 1980-an.