ABIDJAN: Cote d'Ivoire telah kehilangan antara 80 hingga 90 peratus daripada kawasan hutannya, yang merosot daripada kira-kira 16 juta hektar kepada hampir tiga juta hektar, lapor Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai kanan negara itu pada Sabtu.
Menteri Air dan Hutan Cote d'Ivoire, Jacques Assahore Konan, melahirkan rasa kesal terhadap kemerosotan beransur-ansur litupan hutan nasional sejak negara itu mencapai kemerdekaan.
Menurut beliau, meskipun pelbagai sumber telah digerakkan, hasil yang dicapai masih tidak mencukupi. Perkara itu dinyatakan beliau dalam satu mesyuarat bersama pihak berkepentingan sektor perhutanan di Bandar Man, di bahagian barat negara itu.
"Berikutan tekanan terhadap hutan, kemerosotan sumber air serta pengurangan biodiversiti, kita mesti bertindak dan menggandakan usaha kita," katanya.
Beliau turut menyeru pihak berkepentingan dalam sektor perhutanan untuk memberikan komitmen jitu dalam memerangi penebangan hutan.
"Perlindungan hutan dan biodiversiti yang mampan di negara kita adalah satu keperluan," katanya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Cote d'Ivoire berhadapan dengan pengurangan mendadak kawasan hutan, terutamanya disebabkan oleh eksploitasi hutan secara tidak terkawal dan berlebihan.
--BERNAMA-XINHUA