Skip to main content

Dunia

China, AS adakan rundingan perdagangan di Seoul menjelang sidang kemuncak Trump–Jinping

U.S. President Donald Trump and Chinese President Xi Jinping react as they hold a bilateral meeting at Gimhae International Airport, on the sidelines of the Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) summit, in Busan, South Korea, October 30, 2025. REUTERS/Evelyn Hockstein/File Photo
Presiden Trump (kiri) dijadual melakukan lawatan dua hari ke China bagi menghadiri sidang kemuncak berprofil tinggi bersama Jinping bermula Khamis ini. - Gambar fail Reuters

BEIJING: Pegawai kanan China dan Amerika Syarikat dijadual mengadakan rundingan perdagangan di Korea Selatan dalam beberapa hari lagi, menurut Kementerian Perdagangan China dan Setiausaha Perbendaharaan AS pada Ahad (10 Mei), menjelang sidang kemuncak yang dijangka berlangsung antara Presiden China, Xi Jinping dan Presiden AS, Donald Trump.

Rundingan itu berlangsung ketika konflik di Asia Barat terus memuncak serta kos minyak global meningkat, dengan tumpuan utama pertemuan adalah untuk meredakan ketegangan antarabangsa antara dua ekonomi terbesar dunia.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perdagangan China memaklumkan, Naib Perdana Menteri, He Lifeng yang juga pegawai ekonomi tertinggi Beijing, akan menghadiri “perundingan mengenai isu ekonomi dan perdagangan bersama” di Korea Selatan pada Selasa dan Rabu.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menerusi hantaran di platform X berkata, beliau akan berada di Seoul pada Rabu bagi mengadakan perbincangan dengan He Lifeng sebelum meneruskan perjalanan ke Beijing untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin antara Trump dan Jinping.

Trump dijadual melakukan lawatan ke China bagi menghadiri sidang kemuncak berprofil tinggi bersama Jinping, dengan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha meredakan ketegangan berkaitan isu perdagangan dan Taiwan, selain konflik di Asia Barat yang menjadi latar belakang pertemuan tersebut.

Tahun lalu, Washington dan Beijing saling mengenakan tarif terhadap eksport masing-masing, namun, Trump dan Jinping mencapai persetujuan gencatan perdagangan selama setahun ketika pertemuan mereka di Korea Selatan pada Oktober lalu.

He Lifeng dan Bessent merupakan perunding utama bagi China dan Amerika Syarikat dalam semua rundingan berkaitan isu perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Rundingan di Seoul dijangka memuktamadkan sebarang pengumuman yang akan dibuat semasa sidang kemuncak Trump–Jinping nanti.

Bessent turut memaklumkan, beliau akan mengadakan pertemuan awal di Tokyo pada Selasa bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dan Menteri Kewangan, Satsuki Katayama, selain wakil sektor awam dan swasta negara itu.

“Keselamatan ekonomi adalah keselamatan negara, dan saya menantikan siri perbincangan yang produktif ketika kami berusaha memajukan agenda Ekonomi ‘America First’ Presiden Trump,” kata Bessent. - Agensi

Must Watch Video