BAMAKO: Presiden Senegal, Bassirou Diomaye Faye pada Isnin melantik Ahmadou Al Aminou Lo sebagai Perdana Menteri, sekali gus menyerahkan kepimpinan kerajaan kepada seorang ahli ekonomi dan penjawat awam kanan yang terkenal menerusi kerjayanya di Bank Pusat Negara-Negara Afrika Barat (BCEAO), lapor Anadolu Ajansi.
Lo, 60, ialah bekas Pengarah Kebangsaan BCEAO di Senegal, jawatan yang disandangnya dari 2018 hingga 2023.
Profil beliau berbeza daripada ramai tokoh politik terkemuka lain kerana ketua kerajaan baharu itu lebih sinonim dengan kelompok teknokrat dan kewangan berbanding politik barisan hadapan.
Sejak Faye berkuasa pada 2024, Lo memegang beberapa jawatan strategik.
Beliau kali pertama dilantik sebagai menteri dan setiausaha agung kerajaan, yang menyelia penyelarasan tindakan kerajaan serta persediaan mesyuarat Kabinet.
Pada April 2025, beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Presiden yang bertanggungjawab memantau, mengarah dan menilai Agenda Transformasi Nasional Senegal 2050.
Dalam kenyataan awamnya, Lo memperjuangkan pendekatan berasaskan disiplin fiskal dan transformasi ekonomi.
Beliau berhujah bahawa kerajaan boleh “memulihkan keadaan ekonomi dalam tempoh 24 bulan” sekiranya semua pihak berkepentingan mengamalkan “pendekatan tegas dan berdisiplin dari segi kewangan.”
Dikenali dengan kepakaran dalam makroekonomi, kawal selia perbankan dan pasaran kewangan, Lo turut dikenali kerana pandangan kritikalnya terhadap franc CFA, isu yang sering diketengahkan parti pemerintah PASTEF (Patriots Afrika Senegal untuk Kerja, Etika dan Persaudaraan) dalam gesaan ke arah kedaulatan ekonomi dan monetari yang lebih besar.
Pelantikan beliau dibuat ketika Senegal berdepan cabaran ekonomi dan politik yang besar.
Perdana Menteri baharu itu akan bertanggungjawab menerajui dasar kerajaan ketika Senegal berusaha memulihkan pertumbuhan ekonomi, meyakinkan sektor swasta dan meneruskan pelaksanaan reformasi di bawah Wawasan Senegal 2050.
Jawatan Perdana Menteri sebelum ini disandang Ousmane Sonko, tokoh utama PASTEF dan sekutu politik utama presiden, namun beliau dipecat kerana bersuara mengenai penstrukturan semula hutang.
Hutang awam negara itu mencecah paras bersamaan 132 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK), menurut IMF.
-- BERNAMA-ANADOLU