SHAH ALAM: Edisi ke-10 Selangor International Business Summit (SIBS) bakal membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab perdagangan serantau menerusi peluasan jaringan perniagaan ke peringkat ASEAN.
Sidang kemuncak perniagaan itu dijadual berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, menandakan satu dekad peranannya sebagai platform penting yang menghimpunkan pelabur, pemain industri dan pembuat dasar dari dalam serta luar negara.
Sejak diperkenalkan pada 2015, SIBS telah berkembang daripada acara perdagangan berskala kecil kepada platform ekonomi serantau yang berpengaruh, dengan nilai potensi transaksi kumulatif mencecah RM30.56 bilion sepanjang tempoh penganjurannya.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata edisi tahun ini menyasarkan peningkatan penyertaan pelawat, pempamer serta nilai potensi transaksi melebihi pencapaian tahun lalu.
“Tahun ini, sasarannya adalah untuk pelawat 50,000 orang dan untuk pempamer 850 reruai (booth) dan bagi potential transaction value, tahun ini sangat istimewa, sasaran kita adalah perlu melebihi tahun lepas. Rekod tahun lepas iaitu melebihi RM8.17 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata penganjuran SIBS bukan hanya diukur melalui jumlah pelawat atau nilai transaksi, sebaliknya lebih penting dalam membina ekosistem ekonomi yang lebih berdaya tahan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan pelaburan di Selangor.
Memasuki dekad kedua penganjurannya, SIBS 2026 turut memperkenalkan beberapa komponen baharu termasuk Selangor Techsphere Summit, Selangor AI & Semiconductor Summit serta Selangor International Care Expo bagi memperkukuh ekosistem pelaburan berbilang sektor di negeri itu.
Kesemua komponen baharu ini melengkapkan acara sedia ada seperti Selangor ASEAN Business Conference (SABC) dan Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK).
Dalam pada itu, Invest Selangor turut melancarkan inisiatif baharu dikenali sebagai SIBS@ASEAN bagi memperluas jangkauan sidang kemuncak tersebut ke peringkat serantau.
Edisi pertama inisiatif tersebut akan berlangsung di Bandung, Indonesia pada 9 hingga 10 Julai 2026, dengan penglibatan kira-kira 50 syarikat berasaskan Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari berkata pemilihan Bandung dibuat berdasarkan persamaan profil ekonomi antara Selangor dan wilayah Jawa Barat.
“Profil ekonomi Selangor dan Jawa Barat mempunyai banyak persamaan kerana kedua-duanya merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara masing-masing.
“Antara sektor yang akan kami bawa ke Bandung termasuk industri sebenar, automotif dan aeroangkasa, selain pameran berkaitan pelancongan perubatan serta pendidikan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama serantau itu membuka peluang kepada syarikat Selangor untuk menembusi pasaran antarabangsa, selain memperkukuh kedudukan negeri tersebut sebagai penghubung penting dalam rantaian bekalan dan pelaburan serantau.
Penganjuran SIBS 2026 juga dijangka terus memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan baharu serta merangsang pertumbuhan industri berteknologi tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai enjin ekonomi utama negara.
Maklumat lanjut mengenai SIBS 2026 boleh didapati melalui laman web rasmi di www.selangorsummit.com.