Skip to main content

Bisnes

Pemilikan penuh Petronas terhadap PRefChem perkukuh aspirasi jangka panjang Malaysia

PETRONAS
Tertakluk kepada pemenuhan syarat perjanjian, PRefChem akan dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh kumpulan syarikat Petronas. - Foto Petronas

KUALA LUMPUR: Langkah Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mengambil alih pemilikan penuh operasi penapisan dan petrokimia Kompleks Bersepadu Pengerang daripada Saudi Aramco dapat mengukuhkan lagi cita-cita jangka panjang Malaysia untuk meletakkan Pengerang sebagai hab serantau utama untuk penapisan, penyimpanan, petrokimia dan perdagangan.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata Petronas semakin mengutamakan daya tahan, kawalan dan pilihan dalam persekitaran pasaran semasa memandangkan sistem tenaga global menjadi lebih berpecah-belah dan sensitif secara geopolitik.

Innes berkata pasaran bukan mengenai rombakan pemilikan yang mudah tetapi lebih kepada Petronas menyesuaikan kedudukannya untuk landskap tenaga yang lebih tidak menentu dan berdaya saing secara strategik di seluruh Asia.

“Pada masa sama, saya tidak akan mentafsirkan pengunduran (melepaskan pemilikan) Saudi Aramco sebagai isyarat negatif terhadap Malaysia atau hubungan komersial jangka panjang itu sendiri.

“Petronas telah menunjukkan bahawa pengaturan bekalan minyak mentah sedia ada kekal kukuh, justeri ini lebih kelihatan seperti penyusunan semula modal dan keutamaan operasi yang strategik dan bukannya kegagalan dalam kerjasama tenaga dua hala,” katanya kepada Bernama.

Pada Isnin, Petronas dan Aramco mengumumkan bahawa gergasi minyak negara Saudi Aramco akan memindahkan pegangan ekuitinya dalam usaha sama penapisan dan petrokimia PRefChem di Malaysia kepada rakan kongsinya, Petronas, menamatkan perkongsian sektor hiliran selama lapan tahun di Asia Tenggara.

Urus niaga itu melibatkan kepentingan ekuiti Aramco dalam Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd, secara kolektif dikenali sebagai PRefChem yang mengendalikan kompleks penapisan dan petrokimia bersepadu dalam Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor.

Tertakluk kepada pemenuhan syarat perjanjian, PRefChem akan dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh kumpulan syarikat Petronas.

Dari perspektif pasaran, Innes berkata Persekitaran pasca-Selat Hormuz telah mengubah kedudukan strategik bagi banyak penapis minyak Asia.

Beliau berkata semasa tempoh risiko geopolitik yang tinggi, ketangkasan operasi menjadi aset premium.

“Pemilikan penuh berpotensi membolehkan Petronas lebih fleksibiliti untuk mengoptimumkan penyumberan minyak mentah, aliran perdagangan dan integrasi hiliran sebagai tindak balas kepada keadaan pasaran yang berubah-ubah, daripada terlalu terikat dengan mana-mana struktur bekalan tunggal,” kata Innes.

Beliau berkata gangguan Asia Barat baru-baru ini telah merumitkan aliran minyak mentah tradisional Teluk-ke-Asia, terutamanya untuk pembeli dalam jumlah banyak, sensitif harga dan oportunistik seperti China dan India.

Pada 2017, Aramco bersetuju untuk melabur US$7 bilion untuk penyertaan yang sama rata dalam projek tersebut, menandatangani perjanjian pembelian saham semasa lawatan negara ke Malaysia oleh Raja Salman.

Ia merupakan salah satu pelaburan hiliran terbesar syarikat di luar negara.

Kedua-dua usaha sama itu ditubuhkan secara rasmi pada Mac, 2018.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement