LOS ANGELES: Pelakon filem Marvel, Evangeline Lilly, membidas tindakan Disney memberhentikan kira‑kira 1,000 kakitangan, sambil mendakwa syarikat gergasi hiburan itu semakin bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) sehingga mengorbankan tenaga kreatif manusia.
Lilly, yang terkenal menerusi watak Wasp dalam Marvel Cinematic Universe (MCU), mendedahkan perkara itu susulan perbualannya dengan rakan karib, Andy Park, yang merupakan Pengarah Pembangunan Visual Marvel Studios dan antara individu terkesan oleh langkah pengurangan pekerja tersebut.
Beliau mendakwa Disney kini menggunakan teknologi AI untuk memanfaatkan reka bentuk dan idea asal artis, sekali gus meraih keuntungan daripada hasil kreativiti manusia yang telah membina kejayaan MCU sejak sekian lama.
“Sangat mengecewakan melihat Disney membelakangkan individu yang menghidupkan dunia Marvel.
"Mereka kini menggunakan AI untuk mencuri hasil kerja manusia demi keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan yang tular di media sosial pada Jumaat.
Lilly turut mempersoalkan ketiadaan undang‑undang yang cukup ketat bagi mengawal penggunaan teknologi AI, sambil memberi amaran bahawa teknologi itu berpotensi merampas hak dan nilai seni kreatif manusia.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Disney, Josh D’Amaro, menerusi satu memo dalaman menjelaskan bahawa pengurangan tenaga kerja tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkemas operasi syarikat.
Memo berkenaan tidak menyebut penggunaan AI sebagai punca langsung kepada pemberhentian kakitangan yang terlibat.
Langkah pengurangan pekerja itu dilapor turut membabitkan pasukan kreatif dan produksi Marvel, yang selama ini menjadi tunjang utama kepada penghasilan kesan visual dan kandungan filem‑filem blokbuster studio berkenaan.
Isu penggunaan AI dalam industri perfileman kini menjadi topik hangat di Hollywood, susulan kebimbangan yang semakin meningkat berhubung hak cipta, perlindungan artis digital serta masa depan tenaga kerja kreatif dalam era teknologi baharu.