KUALA LUMPUR: Penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dan penubuhan Ombudsman Malaysia yang bakal dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang akan mempertingkatkan ketelusan, akauntabiliti serta akses kepada keadilan bagi golongan pekerja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata FOI akan memperkukuh perlindungan kepada pekerja dengan akses kepada maklumat berkaitan hak dan dasar buruh.
Sementara itu, beliau berkata Ombudsman berperanan sebagai saluran aduan bebas terhadap salah laku pentadbiran, sekali gus menjamin ruang bersuara dan perlindungan yang lebih berkesan kepada pekerja.
"Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah yang memberikan manfaat kepada pekerja seperti peluasan akses kepada keadilan melalui Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026.
"Ia termasuk peningkatan had kelayakan pendapatan bagi mendapatkan bantuan guaman kepada RM50,000, selain memperkukuh Dasar Peluang Kedua melalui inisiatif fast track yang mempercepat pelepasan status bankrap bagi golongan rentan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata khidmat mediasi percuma bagi pertikaian kontrak bernilai RM250,000 ke bawah juga turut disediakan bagi membolehkan penyelesaian yang lebih cepat dan kos efektif tanpa melalui mahkamah bagi memastikan pekerja, khususnya mereka yang berpendapatan rendah turut berpeluang mendapatkan pembelaan undang-undang.
Sempena Hari Pekerja 2026 bertemakan “Pekerja MADANI Kesuma Bangsa”, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh warga pekerja yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.
"Hari ini bukan sekadar sambutan meraikan sumbangan golongan pekerja sebaliknya, ia manifestasi iltizam Kerajaan MADANI untuk membina sistem yang lebih adil dan inklusif supaya setiap pekerja dilindungi, dihargai dan diberi peluang saksama selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran di Facebook turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga pekerja dari sektor awam sehingga swasta yang mencurahkan sumbangan besar dalam memastikan negara terus bergerak maju.
Beliau turut menyatakan penghargaan atas dedikasi dan komitmen warga kerja Kementerian Kerja Raya dan agensi, khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam pembangunan infrastruktur negara.
"Setiap jalan yang dibina, setiap jambatan yang menghubungkan komuniti dan setiap projek yang disiapkan adalah hasil usaha gigih anda semua.
"Marilah kita terus memperkukuh semangat kebersamaan, meningkatkan produktiviti, dan mengangkat martabat tenaga kerja negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
-- BERNAMA