TEHRAN: Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi, mendakwa Pentagon berbohong mengenai kos sebenar peperangan yang dilancarkan oleh pentadbiran Donald Trump terhadap negaranya sejak 28 Feb lalu.
Araghchi, menerusi hantaran di platform X pada Jumaat, mendakwa tindakan ketenteraan berkenaan — yang turut melibatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu — telah menelan kos sebanyak AS$100 bilion (kira-kira RM395 bilion) setakat ini.
Menurut beliau, jumlah itu adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding angka rasmi yang diumumkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
“Pertaruhan Netanyahu telah menelan kos langsung sebanyak AS$100 bilion kepada Amerika setakat ini.
"Kos tidak langsung kepada pembayar cukai AS jauh lebih tinggi,” katanya.
The Pentagon is lying. Netanyahu's gamble has directly cost America $100b so far, four times what is claimed.
Indirect costs for U.S. taxpayers are FAR higher. Monthly bill for each American household is $500 and rising fast.
Israel First always means America Last. pic.twitter.com/onailLYFdL— Seyed Abbas Araghchi (@araghchi) May 1, 2026
Beliau turut mendakwa setiap isi rumah di AS kini terpaksa menanggung beban kos tambahan sekitar AS$500 sebulan (kira-kira RM1,975), dan angka tersebut dijangka terus meningkat sekiranya konflik berkenaan berlarutan.
Dalam pada itu, Araghchi menyelar dasar luar Washington dengan menyifatkan pendekatan “Utamakan Israel” (Israel First) sebagai punca yang akhirnya merugikan rakyat AS sendiri, atau apa yang digelarnya sebagai “Amerika Terakhir” (America Last).
Dakwaan itu dikemukakan ketika pentadbiran Trump berdepan tekanan domestik yang semakin meningkat, susulan kenaikan mendadak harga bahan api dan kos sara hidup, yang dikaitkan dengan penutupan Selat Hormuz serta ketegangan geopolitik berterusan di rantau Asia Barat.
Setakat ini, pihak Pentagon masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi bagi menafi atau mengulas dakwaan yang dikemukakan oleh Araghchi.
Konflik yang bermula dengan serangan udara ke atas kemudahan Iran pada penghujung Februari lalu itu dilapor telah mencetuskan krisis ekonomi global yang ketara, khususnya dalam sektor tenaga dan pengangkutan maritim antarabangsa.