BANGI: Penahanan 175 aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilihat sebagai pengulangan pola tindakan oleh Israel, namun kali ini rejim itu dalam keadaan yang lebih terdesak.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata berdasarkan andaian pihaknya, tindakan tersebut bertujuan menghalang pertemuan atau penggabungan kumpulan aktivis yang berada di Turkiye.
“Kepada sesiapa yang merasakan ini adalah pengulangan skrip, bagi kami ini adalah pengulangan pola kejahatan yang dilakukan oleh rejim Israel, cumanya kali ini ia nampak lebih terdesak,” katanya pada sidang media khas SNCC di Wisma MAPIM, di sini hari ini.
Beliau berkata situasi semasa juga dijangka menjadikan proses pembebasan kesemua aktivis terlibat tidak mudah untuk dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Sani Araby berkata SNCC telah berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyatakan pendirian tegas Kerajaan Malaysia termasuk kecaman terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh rejim Israel.
Menurutnya, Perdana Menteri turut memberi komitmen berterusan dan maksimum bagi usaha membebaskan semua aktivis yang ditahan.
“SNCC turut dimaklumkan bahawa kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri sedang melaksanakan usaha sedaya upaya bagi menggerakkan saluran diplomatik, termasuk menghubungi konsul kehormat di Greece serta negara-negara sahabat,” katanya.
Setakat ini, SNCC mengesahkan 21 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 175 aktivis dan sukarelawan dari seluruh dunia ke Gaza telah ditahan oleh tentera Israel.
Daripada jumlah itu, enam kapal yang diceroboh di perairan antarabangsa berhampiran Greece melibatkan 10 rakyat Malaysia.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan termasuk wartawan veteran dan aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli serta Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai) dan Hazwan Hazim.