SAN JOSE: Bilionair teknologi Elon Musk mengaku di mahkamah pada Khamis bahawa syarikat kecerdasan buatannya (AI), xAI, menggunakan teknologi yang dibangunkan pesaingnya, OpenAI, bagi membantu membina modelnya sendiri ketika memberi keterangan dalam samannya terhadap pengasas bersama OpenAI, Sam Altman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pengakuan itu berkaitan teknik yang dikenali sebagai “distillation”, iaitu kaedah pembangun perisian AI baharu melatih sistem menggunakan model sedia ada.
Syarikat AI lebih kecil khususnya di China, sering menggunakan kaedah itu bagi menjimatkan masa dan kos.
Musk disoal sebagai saksi dalam perbicaraan berhubung samannya terhadap Altman, pengasas bersama OpenAI, syarikat pembangun ChatGPT.
Seorang peguam Altman bertanya sama ada xAI turut menggunakan model OpenAI untuk latihan melalui teknik “distillation”.
Bilionair teknologi itu, yang memberi keterangan di bawah sumpah, pada mulanya cuba mengelak soalan itu dengan berkata perkara berkenaan “secara umum dilakukan oleh semua syarikat AI”.
Apabila peguam itu terus mendesak, Musk menjawab: “Sebahagiannya.”
Dalam saman itu, Musk mendakwa Altman dan pengurus kanan OpenAI, Greg Brockman, “mencuri sebuah badan amal”.
Musk pada asalnya antara pengasas bersama OpenAI, yang ditubuhkan dengan matlamat menjalankan penyelidikan AI demi kepentingan manusia.
Musk mendakwa di bawah kepimpinan Altman dan Brockman, seluruh nilai OpenAI kini tertumpu pada cabang yang berorientasikan keuntungan.
OpenAI menegaskan kawalan masih kekal pada teras bukan berasaskan keuntungan.
Musk meninggalkan lembaga OpenAI pada 2018 dan menarik balik semua sokongan pada 2020.
-- BERNAMA-dpa