KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, stesen radio nombor satu negara, ERA, sekali lagi mengukuhkan hubungannya bersama pendengar menerusi penganjuran acara eksklusif “Bae Raya Bersama Bella”, yang meraikan 30 pendengar bertuah dalam suasana lebaran yang penuh kemesraan dan keceriaan.
Acara ini dianjurkan melalui program 3 Pagi ERA, menampilkan personaliti popular ERA, Bella Astillah, yang turut bersama-sama meraikan Aidilfitri dengan pendengar secara lebih dekat dan peribadi.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, penganjuran acara seumpama ini
mencerminkan komitmen ERA untuk terus menjadi lebih daripada sekadar stesen radio, sebaliknya sebagai sebuah jenama yang mengutamakan hubungan tulen dan pengalaman bermakna bersama pendengar.
"Di ERA, kami sentiasa percaya bahawa hubungan dengan pendengar tidak wajar terhenti di udara sahaja. Menerusi ‘Bae Raya Bersama Bella’, kami ingin memberikan peluang kepada pendengar untuk merasai sendiri pengalaman beraya bersama barisan penyampai dan personaliti ERA dalam suasana yang lebih eksklusif, mesra dan penuh kehangatan Aidilfitri,” katanya.
Tambah Azah, pemilihan Bella Astillah sebagai wajah acara ini adalah sejajar dengan
personaliti beliau yang mudah mesra, rendah hati dan dekat di hati pendengar ERA,
terutamanya pendengar setia program 3 Pagi ERA.
“Bella mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pendengar ERA. Kehadirannya bukan sahaja menceriakan acara, malah berjaya mewujudkan suasana kekeluargaan yang selari dengan semangat Aidilfitri. Ini adalah nilai yang ingin kami tonjolkan melalui acara ini – kebersamaan, penghargaan dan keakraban,” ujarnya.
Sepanjang acara berlangsung, para pendengar disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan Pakaian Paling Bergaya, sesi catwalk, serta permainan ringkas yang mencetuskan suasana ceria dan gelak tawa.
Para peserta turut membawa pulang hadiah eksklusif ERA, manakala juara Pakaian Paling Bergaya menerima hadiah wang tunai RM100.
Selain itu, para pendengar yang hadir turut berpeluang bergambar secara eksklusif bersama barisan penyampai 3 Pagi ERA dan Bella Astillah, sekali gus menjadikan pengalaman ini lebih istimewa serta mencipta kenangan manis yang sukar dilupakan.
Mengulas keunikan acara ini, Azah berkata penglibatan Bella yang turut memasak menu khas Aidilfitri untuk para pendengar menjadi salah satu elemen istimewa yang membezakan acara ini daripada aktiviti radio yang lain.
“Apabila Bella sendiri memasak dan berkongsi juadah bersama pendengar, ia melambangkan keikhlasan serta semangat kekeluargaan yang ingin kami sampaikan. Ia bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi satu pengalaman Aidilfitri yang benar-benar dekat di hati,” jelasnya.
Sebelum acara berlangsung, ERA turut menjalankan peraduan slogan ‘Kenapa Nak Beraya Dengan Bella’ selama seminggu yang menerima sambutan amat menggalakkan daripada pendengar di seluruh negara. Pemenang peraduan ini kemudiannya dipilih untuk menyertai acara “Bae Raya Bersama Bella”.
“Sambutan yang diterima sangat positif dan membuktikan pendengar setia menyokong setiap inisiatif ERA. Kami amat menghargai sokongan ini dan akan terus memperkenalkan lebih banyak aktiviti yang menghargai dan mendekatkan kami dengan komuniti pendengar,” tambah Azah.
ERA ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ERA menampilkan lagu-lagu popular, hits terkini dan menjadi pilihan utama pendengar, menjadikannya stesen radio nombor 1 di Malaysia.
Dengan hampir enam juta pengikut di media sosial, ERA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Hit Terkini. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti ERA di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ERA melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
ERA – Muzik Hit Terkini