Skip to main content

Malaysia

Kebebasan berkarya mesti selari dengan adab, nilai masyarakat - Zulkifli

KUALA KANGSAR, 17 April -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan bercakap kepada media sempena Majlis Perasmian Ihtifal Madrasah Idrisiah 2026 di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Zulkifli bercakap kepada media sempena Majlis Perasmian Ihtifal Madrasah Idrisiah 2026 di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan hari ini. - Gambar Bernama

KUALA KANGSAR: Kebebasan berkarya dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab menjaga adab, nilai moral dan batas yang telah digariskan oleh agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata bidang seni dan hiburan merupakan medium penting menyampaikan mesej serta membina pemikiran masyarakat, justeru setiap karya dihasilkan perlu selari dengan prinsip kesopanan dan nilai yang diterima oleh masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata Islam tidak pernah menolak seni dan kreativiti malah menggalakkan penghasilan karya yang memberi manfaat kepada masyarakat, namun kebebasan tersebut bukanlah tanpa batas.

“Islam tidak melarang umatnya untuk berkarya dan mendapatkan hiburan tetapi setiap karya itu perlu mempunyai batas dan parameter yang jelas.

"Kita sudah mempunyai garis panduan serta rujukan yang boleh dijadikan pedoman supaya karya dihasilkan tidak terkeluar daripada landasan yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Ihtifal Madrasah Idrisiah 2026 di sini hari ini.

Zulkifli berkata semangat berkarya perlu disertai dengan kesedaran bahawa karya seni mempunyai pengaruh besar terhadap pembentukan akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat, terutama dalam kalangan anak muda.

“Apabila sesuatu karya dipersembahkan kepada umum ia bukan sekadar hiburan tetapi turut membawa mesej dan nilai tertentu, jadi pengkarya perlu bertanggungjawab memastikan karya yang dihasilkan tidak mencetuskan keresahan masyarakat atau melanggar prinsip akhlak dan kesopanan.

"Jadi saya menggesa semua pihak termasuk institusi pendidikan, penganjur program serta penggiat seni supaya memainkan peranan dalam membudayakan penghasilan karya yang lebih membina dan beretika," katanya.

Beliau berkata negara memerlukan lebih banyak karya yang mampu mendidik masyarakat, memperkukuh nilai insani dan menyumbang kepada pembangunan sahsiah generasi muda.

“Kita mahu melihat lebih banyak karya yang membawa mesej positif, membina akhlak dan memperkukuh jati diri masyarakat. Inilah naratif baharu yang perlu dibawa dalam dunia seni iaitu karya yang kreatif tetapi tetap menghormati batas agama, budaya dan adab masyarakat,” katanya.

Semalam, Universiti Malaya dalam satu kenyataan memohon maaf atas kekhilafan berhubung isu adegan kurang sopan dalam pementasan teater yang tular di media sosial dan menyatakan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan ditetapkan.

-- BERNAMA 

Must Watch Video