Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Krisis kehakiman Israel dan nasib tahanan Palestin

81760165879_MarwanBarghouti.jpg
Marwan Barghouti (foto) masih dipenjarakan sejak disabitkan pada tahun 2004 dan sehingga kini ditempatkan dalam kurungan pengasingan. -Gambar fail

HARI Tahanan Palestin (Palestinian Prisoners' Day) yang disambut pada 17 April setiap tahun memberi ruang kepada dunia untuk memperingati ribuan rakyat Palestin yang masih dipenjarakan, ramai daripada mereka ditahan tanpa bicara, diseksa, dan dinafikan hak asasi yang paling asas.

Lebih dua dekad telah berlalu, namun pemimpin politik Palestin, Marwan Barghouti, masih dipenjarakan sejak disabitkan pada tahun 2004 dan sehingga kini ditempatkan dalam kurungan pengasingan (solitary confinement). 

Menurut peguam beliau, Ben Marmelli, keadaan Barghouti semakin membimbangkan dan penyeksaan terhadap beliau dilaporkan semakin teruk.

Dr Hussam Abu Safiya telah ditahan selama lebih dua tahun tanpa bicara dan tanpa akses kepada sistem keadilan. Selain diseksa secara berterusan, beliau juga dinafikan hak asas termasuk rawatan perubatan.

Dalam satu kenyataan, pakar hak asasi manusia UNHRC mengecam penahanan tersebut dan menuntut pembebasan beliau serta merta. Namun sehingga kini, beliau masih ditahan tanpa sebarang sebab.

Penahanan, pemenjaraan, penyeksaan dan pencabulan hak asasi terhadap ribuan tahanan Palestin kini kembali menjadi tumpuan dunia. Namun, di sebalik isu kemanusiaan ini, timbul persoalan yang lebih kritikal:

Adakah tahanan Palestin mempunyai ruang untuk membela diri dan mencabar penahanan salah mereka di mahkamah Israel? Dan sejauh manakah badan kehakiman Israel berfungsi secara bebas dan adil dalam kes melibatkan tahanan Palestin?

Israel sering menampilkan dirinya di mata dunia sebagai sebuah “negara” demokrasi yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif (Knesset) dan kehakiman. Namun, Israel tidak mempunyai perlembagaan. 

Sistem perundangannya bergantung kepada undang-undang asas (basic laws) dan akta-akta Parlimen. Ketiadaan perlembagaan bertulis menghalang kebebasan badan kehakiman dan membuka ruang kepada ketidakadilan, khususnya dalam kes melibatkan rakyat Palestin dan tahanan Palestin.

Ciri paling ketara dalam ketidakadilan ini ialah kewujudan sistem kehakiman dua landasan (dual-track system), yang secara jelas bercanggah dengan prinsip asas demokrasi. 

Di bawah sistem ini, rakyat Israel, termasuk peneroka haram di Tebing Barat, tertakluk kepada undang-undang sivil dan kuasas mahkamah sivil. Sebaliknya, rakyat Palestin diletakkan sepenuhnya di bawah undang-undang tentera dan kuasa mahkamah tentera.

Mahkamah tentera Israel dikendalikan sepenuhnya oleh pegawai tentera, daripada hakim hingga pendakwa. Dalam sistem ini, rakyat Palestin dinafikan hak perbicaraan yang adil di mana akses kepada peguam adalah terhad atau langsung tidak dibenarkan, dan bukti tidak akan dikemukakan atas alasan “keselamatan negara”.

Lebih teruk, mahkamah tentera mempunyai kuasa untuk memerintahkan tahanan tanpa bicara (tahanan administratif) tanpa keperluan mengemukakan sebarang bukti. Akibatnya, hampir semua rakyat Palestin yang dihadapkan ke mahkamah tentera akan disabitkan dan dihukum.

Secara teori, Mahkamah Agung Israel (mahkamah tertinggi) mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan mahkamah tentera. Namun, realitinya lebih kompleks.

Semakan yang dilakukan Mahkamah Agung lazimnya hanya tertumpu kepada aspek prosedur, bukan kepada merit kes. Dalam kesemua keadaan, pihak kerajaan akan bergantung kepada hujah “keselamatan negara” sebagai justifikasi penahanan. 

Di bawah undang-undang, alasan “keselamatan negara” secara langsung mengikat tangan Mahkamah Agung dan mengehadkan peranannya sebagai pelindung hak asasi.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini terdapat perubahan ketara dalam landskap badan kehakiman Israel. Mahkamah Agung Israel dilihat semakin berani membuat keputusan yang bertentangan dengan dasar kerajaan, khususnya dalam isu melibatkan hak asasi tahanan Palestin.

Sebagai contoh, pada 7 September 2025, mahkamah membenarkan petisyen yang difailkan oleh Association for Civil Rights in Israel (ACRI) berhubung hak asasi untuk tahanan Palestin diberikan makan.  

Keputusan ini dianggap kontroversi dan luar biasa kerana secara jelas bercanggah dengan polisi rejim zionis. Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir mengecam keputusan tersebut dan menyifatkannya sebagai memalukan serta melabel Mahkamah Agung sebagai pelindung Hamas.

Pada 12 April 2026, mahkamah sekali lagi membuat keputusan penting apabila membenarkan petisyen yang difailkan oleh The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH). 

Mahkamah memutuskan bahawa polisi Ben-Gvir yang melarang ahli Knesset melawat tahanan Palestin adalah menyalahi undang-undang dan tidak sah.

Polisi tersebut bukan sahaja menjejaskan hak tahanan Palestin, tetapi juga menghalang ahli Knesset menjalankan fungsi pengawasan Parlimen (parliamentary oversight), secara langsung melemahkan mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi.

Trend ini menunjukkan peningkatan aktivisme kehakiman di dalam badan kehakiman Israel (walaupun masih jarang berlaku), di mana mahkamah semakin berani menyemak dan membuat keputusan yang bertentangan dengan dasar rejim Zionis berkaitan hak asasi tahanan Palestin.

Perubahan landskap kehakiman ini telah mencetuskan kemarahan pemimpin rejim Zionis terutamanya di kalangan pemimpin blok sayap kanan. 

Akibat daripada ini, kerajaan pimpinan Benjamin Benjamin Netanyahu kini sedang giat dalam usahanya untuk mengekang kuasa Mahkamah Agung. 

Pada tahun 2025, Knesset meluluskan pindaan undang-undang pelantikan kehakiman, dengan tujuan meningkatkan pengaruh politik dalam pelantikan hakim. 

Walaupun pelaksanaannya ditangguhkan disebabkan cabaran yang sedang berjalan di mahkamah, langkah ini jelas menunjukkan usaha sistematik untuk mengehadkan kuasa kehakiman. 

Jelas terbukti bahawa apabila mahkamah cuba memainkan peranan sebagai semak dan imbang, ia berhadapan dengan usaha berterusan untuk dilemahkan.

Ketegangan antara badan kehakiman dan kerajaan rejim Zionis semakin memuncak apabila satu petisyen yang disokong oleh Peguam Negara, Gali Baharav-Miara, difailkan untuk menyingkir Itamar Ben-Gvir daripada jawatannya sebagai Menteri Keselamatan atas dakwaan campur tangan tidak wajar dalam urusan polis. Petisyen tersebut didengar selama lebih 10 jam pada 15 April 2026.

Reaksi daripada pemimpin kerajaan amat membimbangkan. Menteri Undang-Undang Israel, Yariv Levin, menyifatkan tindakan mahkamah sebagai tidak berperlembagaan dan memberi jaminan bahawa kerajaannya tidak akan mematuhi sebarang keputusan mahkamah berkaitan petisyen tersebut. 

Ben Gvir pula menuduh mahkamah bertindak melampau dan cuba menjadi “diktator kehakiman”. Kenyataan-kenyataan ini mencerminkan sikap pemimpin rejim Zionis yang langsung  tiada hormat kepada kedaulatan undang-undang dan institusi kehakiman sendiri.

Dalam keputusan yang disampaikan pada hari Khamis (16 April 2025), sembilan hakim yang mendengar petisyen tersebut memerintahkan Ben-Gvir supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung urusan dan kuasa polis, termasuk berkaitan siasatan yang sedang berjalan.

Walau bagaimanapun, Ben-Gvir yang dikenali sebagai seorang pemimpin Zionis yang kejam dan penuh kontroversi menegaskan akan terus dengan polisinya dan tidak akan berkompromi dengan Peguam Negara.

Di tengah konflik ini, tahanan Palestin terus dihantui apabila Knesset meluluskan satu undang-undang pada 30 Mac 2026 yang memberi kuasa kepada kerajaan rejim Zionis untuk melaksanakan hukuman mati terhadap tahanan Palestin.

Menurut ADALAH, walaupun telah diluluskan, undang-undang ini masih belum berkuat kuasa kerana sedang dicabar di mahkamah dan hanya akan berkuat kuasa selepas semakan penuh oleh Mahkamah Agung. 

Pengasasnya, Dr Hassan Jabareen menyatakan bahawa terdapat tentangan terhadap undang-undang ini daripada pelbagai institusi di dalam Israel sendiri, termasuk badan kehakiman. 

Dalam konteks ini, krisis perlembagaan dan konflik antara badan kehakiman dan kerajaan yang semakin memuncak memberikan sedikit harapan kepada tahanan Palestin. 

Ini memberikan harapan bahawa masih wujud ruang untuk mencabar undang-undang yang zalim seperti undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin.

Apa yang sedang berlaku di Israel hari ini bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi krisis terhadap prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang. 

Jika undang-undang dan sistem kehakiman domestik sendiri tidak dihormati, bagaimana mungkin rejim Zionis akan menghormati dan mematuhi undang-undang antarabangsa? Tentangan terhadap rejim Zionis perlu juga diperkukuhkan daripada dalam melalui institusi seperti badan kehakiman.

Dunia akan memerhati dan akan terus memerhati. Ketika flotila kemanusiaan terbesar dalam sejarah dunia mula berlayar untuk memecahkan kepungan haram dan komuniti antarabangsa terus secara konsisten memberikan tekanan, kita juga perlu meletakkan harapan dan memberi sokongan sepenuhnya kepada pejuang hak asasi di dalam Israel untuk membela nasib tahanan Palestin. 

Juga tidak salah untuk kita meletakkan sekelumit harapan kepada institusi dalam Israel sendiri seperti badan kehakiman yang serba sedikit mempertahankan prinsip keadilan dan menentang dasar kejam rejim Zionis.

Dalam keadaan ini, perhatian dan tekanan daripada komuniti antarabangsa, serta sokongan terhadap elemen dan institusi dalam Israel yang pro-Palestin dan pro hak asasi, adalah sangat penting dalam memastikan bahawa prinsip keadilan tidak terus terhakis dan hak asasi tahanan Palestin terus terbela.

Hari Tahanan Palestin harus menjadi lebih daripada sekadar peringatan. Ia adalah seruan untuk memastikan bahawa keadilan serta kedaulatan undang-undang tidak terus diketepikan, dan hak asasi tahanan Palestin terus diperjuangkan, baik di dalam Israel mahupun di peringkat antarabangsa.


Luqman Mazlan merupakan Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya dan juga sukarelawan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video