CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terbuka dengan cadangan memotong gaji menteri sekiranya keadaan ekonomi semakin meruncing.
Namun Anwar menjelaskan bahawa gaji menteri kabinetnya masih rendah dan merupakan hak berdasarkan prestasi mereka.
“Gaji kita secara relatif memang rendah, yang penting bekerja dengan baik, saya tiada masalah tiada gaji.
“Tetapi gaji itu merupakan hak mereka, saya ingat munasabahlah. Bagaimanapun tiada halangan jika keadaan ekonomi lebih runcing, kita fikirkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan Solat Jumaat di Surau Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa mencadangkan agar kerajaan republik itu memotong gaji menteri sebanyak 25 peratus.
Namun cadangan tersebut belum diputuskan secara rasmi dan masih di peringkat perbahasan.
Kali terakhir Malaysia melaksanakan pemotongan gaji menteri adalah pada Disember 2022 iaitu sebanyak 20 peratus.
Tindakan tersebut dibuat sebagai langkah pengurusan fiskal Kerajaan MADANI yang baru dibentuk pada ketika itu.